Cyberjaya, 3 Mei 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menganjurkan program Wacana Media: “Kebebasan Media: Siapa Mengawal Naratif?” bersempena sambutan Hari Kebebasan Media Sedunia, yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet.
Program yang berlangsung dua jam itu menghimpunkan tokoh akademik dan pengamal media bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan kebebasan media, termasuk peranan institusi, pengaruh kuasa politik dan ekonomi, serta cabaran dalam memastikan penyampaian maklumat yang bebas, tepat dan berintegriti.
Panel wacana menampilkan Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican, pakar sejarah intelektual dan sosial; Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah; Wathshlah Naidu, Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism; serta Datuk Zaini Hassan, Penasihat Editorial BebasNews. Sesi ini dikendalikan oleh Dr. Haji Ainol Amriz Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MPI.
Perbincangan tertumpu kepada persoalan utama mengenai siapa yang sebenarnya membentuk naratif dalam landskap media masa kini, khususnya dalam era digital yang menyaksikan penyebaran maklumat berlaku secara pantas dan meluas. Panel turut menyentuh kepentingan etika kewartawanan, literasi media dalam kalangan masyarakat, serta keperluan memperkukuh kebebasan media sebagai asas kepada demokrasi yang sihat.
Penganjuran program ini bertujuan menyediakan platform wacana intelektual bagi memperkasa kefahaman masyarakat terhadap peranan media serta cabaran yang dihadapi industri dalam mengekalkan kebebasan dan kredibiliti.
Program ini turut mendapat sambutan menggalakkan hampir 150 orang yang terdiri daripada pengamal media, pelajar, ahli akademik serta orang awam yang mengikuti sesi secara dalam talian.
Hari Kebebasan Media Sedunia yang disambut setiap tahun pada 3 Mei menjadi peringatan penting kepada semua pihak tentang kepentingan mempertahankan kebebasan media serta hak untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan bertanggungjawab.



