HAWANA (Hari Wartawan Nasional) 2025 memperlihatkan satu momentum baharu dalam perbincangan industri media negara. Ia bukan sekadar meraikan peranan wartawan, tetapi mendalami persoalan struktur, teknologi dan prinsip yang mendasari kewartawanan hari ini.
Dalam era yang ditakrifkan oleh kelajuan maklumat, kecerdasan buatan dan kehendak pasaran digital, HAWANA menjadi medan yang menyatukan keperluan untuk merenung kembali asas tanggungjawab media: menyampaikan kebenaran, melindungi demokrasi dan membina kepercayaan awam.
Antara titik tumpuan yang paling mencuri perhatian ialah bagaimana teknologi Artificial Intelligence (AI) telah menyusup masuk ke dalam bilik berita, bukan lagi sebagai alat teknikal semata-mata, tetapi sebagai pengubah struktur kerja wartawan. Algoritma kini bukan sahaja membantu menstrukturkan kandungan berita, malah menentukan susunan berita, memilih tajuk utama dan merancang waktu siaran berdasarkan analisis tingkah laku khalayak.
Dalam sekelip mata, landskap penyampaian maklumat telah berubah dan soalnya kini bukan lagi sejauh mana media boleh menggunakan AI, tetapi sejauh mana media dapat menguasainya tanpa mengorbankan nilai asas kewartawanan.
Dalam kerangka ini, Majlis Media Malaysia muncul sebagai institusi yang semakin penting. Ia bukan sahaja kerana ia menjadi simbol kawal selia kendiri, tetapi mula memainkan peranan sebagai penjaga sempadan etika dalam dunia yang kabur antara kebenaran dan rekaan. Majlis ini ditanggapi sebagai wadah yang bukan sahaja mengangkat standard pelaporan profesional, tetapi juga mampu menjadi ruang kolektif untuk menyelesaikan isu etika yang timbul dari penggunaan teknologi canggih dalam proses editorial.
Di tengah kekacauan suara dalam talian, di mana maklumat sahih dan palsu bersaing dalam rentak yang sama pantas, Majlis ini mewakili satu bentuk pemandu moral yang diperlukan bukan hanya oleh media, tetapi oleh masyarakat seluruhnya.
Namun, harapan terhadap media tidak lagi bersandarkan kepada idealisme semata-mata. Ia kini menuntut tindakan nyata antaranya, memastikan pengamal media dibekalkan kemahiran teknologi yang cukup untuk menilai, menggunakan dan mengawal sistem AI secara berhemah. Dunia kewartawanan tidak boleh menolak teknologi, tetapi tidak boleh juga tunduk kepadanya secara membuta tuli. Ini bermakna organisasi media harus mula memikirkan strategi khusus dengan membentuk unit penilaian teknologi, melatih semula wartawan dan yang paling penting, merangka dasar dalaman yang menekankan tanggungjawab sosial ketika menggunakan teknologi seperti AI generatif, penjana visual automatik, serta sistem cadangan berita berasaskan data besar.
Justeru satu hakikat yang sukar dielakkan bahawa berita palsu, fitnah dalam talian dan manipulasi persepsi bukan lagi masalah luar sebaliknya, ia kini masalah yang hidup dalam setiap ruang digital rakyat. Dalam realiti ini, media bukan hanya perlu menyampaikan berita, tetapi perlu berperanan sebagai pelindung wacana awam yang sihat.
Keperluan untuk mendidik khalayak tentang literasi media semakin mendesak, apatah lagi apabila kandungan palsu mula beroperasi dalam bentuk yang hampir tidak dapat dibezakan dengan kandungan sahih. Di sinilah pentingnya ketelusan dalam menyatakan sama ada sesuatu kandungan dihasilkan manusia atau mesin dan di sinilah juga letaknya keperluan untuk menetapkan garis panduan jelas agar AI digunakan sebagai alat memperkukuh, bukan mengaburkan kebenaran.
Apa yang lebih penting daripada teknologi itu sendiri ialah sikap media terhadapnya. Sama ada media mahu kekal menjadi pelapor yang jujur, penyemak fakta yang tegas dan penjaga prinsip atau tergelincir menjadi sekadar pemain algoritma yang berlumba untuk meraih perhatian.
Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, setiap baris berita mempunyai implikasi sosial dan budaya. Maka sensitiviti, tanggungjawab dan kebijaksanaan editorial menjadi lebih signifikan berbanding sebelumnya. Tanpa nilai-nilai ini, tidak ada teknologi yang cukup hebat untuk menyelamatkan maruah kewartawanan.
HAWANA tahun ini, dengan segala isinya, memperlihatkan bahawa industri media Malaysia sedang berada di persimpangan penting. Di satu sisi ialah peluang luar biasa yang ditawarkan oleh teknologi, dan di sisi lain adalah cabaran untuk memastikan teknologi tidak melunturkan prinsip. Yang diperlukan kini bukan hanya pelan tindakan, tetapi komitmen kolektif daripada organisasi media, pembuat dasar, institusi latihan dan masyarakat pengguna sendiri untuk mendukung media yang bukan sekadar pantas, tetapi juga tepat, beretika dan berjiwa.
Jika sesuatu boleh disimpulkan, ia adalah kesedaran bahawa masa depan media bukan ditentukan oleh teknologi yang digunakan, tetapi oleh nilai, kredibeliti dan etika yang dipertahankan. Dan di tengah segala ketidaktentuan digital, itulah satu-satunya kompas yang tidak boleh hilang.



