Kursus
MEMPERKASA LITERASI UNDANG-UNDANG & MEMAHAMI HAK DAN BATASAN SEBAGAI PENGAMAL MEDIA

MEMPERKASA LITERASI UNDANG-UNDANG & MEMAHAMI HAK DAN BATASAN SEBAGAI PENGAMAL MEDIA

Kesedaran tentang undang-undang media adalah penting! Oleh itu satu kursus bertajuk Siri Literasi Undang-Undang Media: Ketenteraman Awam & Perlindungan Reputasi telah diadakan pada 25 – 26 September 2024 di Pusat Latihan MPI di Cyberjaya.

Kursus ini telah dikendalikan oleh Dr Hafidz Hakimi Haron, pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia.

Seramai 44 orang peserta terdiri daripada pengamal media, pegawai penerangan dan pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah menghadiri kursus secara fizikal dan secara atas talian ini.

Kursus ini telah diadakan dengan objektif untuk memperkasakan pengamal media dan pegawai penerangan/pegawai J-KOM di Malaysia dalam memahami aspek perundangan yang berkaitan dengan tanggungjawab mereka. Kursus ini menekankan isu-isu sensitif yang berkaitan dengan ketenteraman awam dan bagaimana undang-undang memberi perlindungan kepada reputasi individu serta organisasi, sejajar dengan perkembangan teknologi dan media sosial.

Sebanyak 7 modul telah dibincangkan sepanjang dua hari berkursus antaranya Undang-Undang dan Media: Satu Pengenalan, Undang-Undang Hasutan: Isu 3R, Berita Palsu dan Lambakan Maklumat: Waspada!, Fitnah Jenayah dan Fitnah Sivil, Undang-Undang Siber: Dunia Bersempadan?, Etika Kewartawanan dan Kod Kandungan: Cegah Sebelum “Kena”? dan Undang-Undang Media dan Terorisme.

Dengan pengetahuan yang dipelajari, diharap kursus ini telah memberikan impak positif kepada para peserta, meningkatkan kesedaran mereka terhadap aspek undang-undang yang berkaitan dengan ketenteraman awam dan perlindungan reputasi.

Kursus ini diharapkan juga akan menjadi platform berterusan untuk memperkukuh peranan pengamal media dan pegawai penerangan dalam menyebarkan maklumat secara beretika dan bertanggungjawab di Malaysia.

Rakaman gambar-gambar:

Dr. Hafidz Hakimi Haron, penceramah yang juga merupakan Pensyarah Kanan di UUM memberi penerangan berkenaan kursus Media & Undang-Undang kepada para peserta.
Peserta secara fizikal dan secara atas talian sedang tekun mendengar topik berkenaan isu 3R dari penceramah.
Dua orang peserta dari New Straits Times sedang bertanyakan soalan kepada penceramah.
Peserta fizikal dan atas talian sedang menyampaikan persembahan hasil latihan dalam kumpulan (LDK) dari kumpulan masing-masing.
Peserta fizikal bersama sijil masing-masing dan peserta atas talian bergambar kenangan bersama penceramah.