Kuala Lumpur, 29 April 2025 — Dalam suasana penuh semangat dan kreativiti, para peserta kursus berjaya melaksanakan tugasan menghasilkan dokumentari pendek sejarah dengan hanya menggunakan peralatan asas.
Peserta yang telah dibahagikan kepada tiga kumpulan diberikan tema dokumentari yang berbeza, iaitu Sejarah Wang Kertas di Malaysia, Sejarah Awal Penerbitan Akhbar di Malaysia, dan Sejarah Kopitiam di Malaysia. Tugasan ini memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran penyelidikan, rakaman video, serta penyuntingan asas dalam masa yang terhad.
Rakaman dokumentari pendek ini bakal dipersembahkan dalam pada hari kedua untuk dinilai bersama berdasarkan teori yang dipelajari pada sebelah pagi hari pertama.
Latihan ini bukan sahaja mendedahkan peserta kepada kaedah penceritaan visual, malah menguji keupayaan mereka untuk menghasilkan kandungan berkualiti dengan sumber yang terhad – satu kemahiran penting dalam era kewartawanan digital masa kini.
Kursus Kewartawanan Digital Untuk Pengamal Media ini akan bersambung pada hari kedua, 30 April 2025.







