9 Disember 2024, Yokyakarta – Pertemuan bersama pelbagai pihak dalam membincangkan isu hak asasi manusia serta kebebasan media telah diadakan secara santai dalam satu jamuan makan malam anjuran Aliansi Jurnalis Independen (AJI) Indonesia di Yokyakarta pada 8 Disember (semalam). Perbincangan tersebut merupakan usaha bagi memastikan pelaporan berita diterbitkan adalah secara berfakta, konsisten, dan bebas daripada tekanan atau ancaman kepada mana-mana pihak yang terkesan.
Pada masa sama, bagaimana pemahaman terhadap isu itu dapat diterjemahkan oleh wartawan, yang mana boleh dipelajari dalam medan latihan agar ia menjadi pelaporan yang lebih memberi impak.
Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif IFJ Malaysia-Indonesia: Media Mission – Strengthening Solidarity on Media Viability, Regulation, and Rights in South East Asia, yang berlangsung bermula 8 hingga 13 Disember 2024. Ia bertujuan bagi memperkukuh solidariti di antara pengamal media di rantau Asia Tenggara dalam aspek kebolehupayaan, regulasi, dan perlindungan hak asasi media.
Pada hari ini, delegasi Malaysia dan Australia dijadualkan melawat Semarang untuk mendengar pembentangan tentang pendekatan AJI dalam mengurus isu-isu berkaitan media dan wartawan, terutamanya dalam konteks perlindungan alam sekitar. Sesi perbincangan bersama komuniti Sedulur Sikep, bertemakan Food Independence, Environment, and The Future of Mother Land (Sedulur Sikep Perspective), akan dikendalikan oleh Mas Gun. Beliau akan berkongsi pandangan berasaskan perspektif budaya tempatan mengenai kemandirian makanan, pemeliharaan alam sekitar, dan masa depan negara yang lestari.





