Pulau Pinang, 4 Mei — Malaysian Press Institute (MPI) membuka penyertaan Anugerah Media Mutiara 2026 kepada semua pengamal media di seluruh negara buat pertama kalinya, sekali gus memperluas skop pertandingan yang sebelum ini hanya melibatkan wartawan di Pulau Pinang dengan fokus kepada pengiktirafan karya kewartawanan berkaitan pembangunan negeri tersebut.
Langkah ini memberi peluang kepada wartawan, editor, jurugambar dan pengamal media digital yang pernah menghasilkan karya berkaitan Negeri Pulau Pinang untuk menyertai pertandingan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail berkata, pembukaan penyertaan secara nasional ini mencerminkan sifat liputan media yang kini bersifat tanpa sempadan. “Banyak karya berkualiti mengenai Pulau Pinang dihasilkan oleh pengamal media dari seluruh negara. Justeru, ia wajar diberi pengiktirafan secara lebih inklusif. MPI turut merakamkan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow atas persetujuan dan sokongan penuh terhadap penganjuran Anugerah Media Mutiara 2026,” katanya.
Sebanyak 6 kategori utama dipertandingkan iaitu Laporan Berita Terbaik, Video Pendek Terbaik, Rencana Terbaik, Laporan TV Terbaik, Foto Berita Terbaik dan Foto Belum Diterbit Terbaik. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi MPI https://mpi.my/award/anugerah-media-mutiara
Anugerah Media Mutiara diwujudkan bagi mengiktiraf karya kewartawanan berkualiti yang berimpak, berfakta dan beretika dalam melaporkan pembangunan Negeri Pulau Pinang, di samping mengangkat peranan media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan naratif pembangunan negeri secara lebih seimbang dan mendalam. Inisiatif ini turut bertujuan memperkukuh standard kewartawanan semasa merentasi pelbagai platform media serta menyokong usaha mewujudkan ekosistem komunikasi awam yang lebih matang, profesional dan berasaskan fakta.
MALAYSIAN PRESS INSTITUTE
4 Mei 2026



