5 Februari 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) telah menerima koleksi-koleksi buku yang disumbangkan oleh Encik Ammar Farhan. Beliau adalah anak kepada Allahyarhamah Dr. Saidathul Nizah Binti Mat Tazin, mantan pensyarah Perhubungan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang pakar dalam bidang Komunikasi Krisis. Antara karya utama yang dihasilkan oleh beliau adalah sebuah tesis yang bertajuk Public Relations Excellence In Crisis Communication Management: A Case Study In Tenaga Nasional Berhad.
Di dalam penulisannya, penelitian kajian beliau adalah memfokuskan kepada bagaimana TNB menguruskan isu-isu krisis dengan berkesan, strategi komunikasi yang digunakan, serta keberkesanan hubungan dengan pihak berkepentingan semasa krisis. Selain itu, kajian ini juga mengetengahkan peranan perhubungan awam dalam memastikan keyakinan dan reputasi syarikat dapat dipertahankan meskipun berdepan situasi mencabar. Kajian sebegini penting dalam memahami bagaimana organisasi besar boleh bersedia untuk menghadapi krisis serta memperbaiki strategi komunikasi mereka bagi mencegah kerosakan imej dan kepercayaan masyarakat.
Menurut Encik Ammar Farhan, “Sumbangan ini sebagai tanda mengenang jasa dan dedikasi ibu saya selama jangka hayatnya dalam berbakti kepada dunia akademik”.
Beliau juga berharap sumbangan yang diberikan kepada Perpustakaan Mini MPI ini mampu menjadi wadah ilmu yang berterusan dan memberi manfaat kepada para pembaca serta pengamal media di luar sana.




