Akhbar Bercetak: Langkah ‘Mengundur’ yang Merai Kewartawanan Berkualiti

Penulis: Dr. Siti Suriani Othman, Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Banyak isu dalam bidang kewartawanan telah disentuh dalam Forum Mini Siri 2 anjuran Malaysian Press Institute (MPI) bertajuk Industri Media 5.0: Trend, Tuntutan dan Transformasi yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Forum ini menghimpunkan tiga tokoh penting dalam industri media tanah air: Datuk Yong Soo Heong (Presiden MPI), Haji Ainol Amriz Ismail (Ketua Pegawai Eksekutif MPI) dan Ally Iskandar (pengacara, penerbit dan wartawan).

Mengulas tajuk forum yang mengangkat trend masa kini dan masa hadapan industri media, perbincangan ini mengungkap pelbagai sudut reflektif. Salah satu pandangan yang cukup menarik di mata saya datang daripada Ally Iskandar yang menyuarakan harapan agar akhbar bercetak dapat kembali diterima dan dihargai seperti dahulu. Tidak banyak huraian dikongsikan oleh Ally, mungkin kerana beliau menyedari harapan ini mungkin kelihatan mustahil. Namun, jika dilihat dari sudut positif (tetapi memenatkan), pada saya, impian untuk menyaksikan kebangkitan semula akhbar bercetak bukanlah angan-angan kosong semata.

Pasti ramai yang bersetuju bahawa apabila akhbar cetak beralih ke versi dalam talian, perubahan ini dilihat sebagai satu kemajuan yang sejajar dengan arus digitalisasi global. Jika dahulu kita perlu menunggu keesokan hari untuk mengetahui sesuatu berita, hari ini maklumat diperoleh dalam sekelip mata melalui skrin telefon. Dari segi kepantasan dan keluasan capaian, ini adalah satu bentuk revolusi maklumat yang tidak pernah kita terbayang sebelum era digital.

Namun begitu, cadangan untuk kembali ke era akhbar bercetak bukanlah satu provokasi tanpa makna. Ia bukan sekadar mengenang nostalgia, tetapi suatu hasrat untuk menghidupkan semula nilai-nilai kewartawanan tulen yang kini semakin tenggelam dalam hiruk-pikuk berita atas talian yang sering kali tidak terverifikasi.

Namun, saya juga sedar, usaha mengembalikan kegemilangan akhbar bercetak tidaklah semudah menekan butang “undur”. Ia melibatkan perancangan strategik yang menyeluruh merangkumi aspek ekonomi, teknologi, budaya, dan sosial. Jika dilakukan dengan bijaksana, langkah ini mampu menjadi pelaburan jangka panjang kepada generasi akan datang.

Antara kelebihan utama akhbar bercetak ialah tahap kualitinya yang lebih tinggi hasil proses editorial yang sistematik, terancang dan dikawal rapi. Proses ini memastikan kredibiliti kandungan lebih terjamin berbanding platform digital yang terbuka kepada manipulasi dan penyebaran berita palsu. Format bercetak juga menghalang berita sensasi daripada tersebar secara tidak terkawal seperti yang berlaku di media sosial.

Selain itu, akhbar bercetak menggalakkan budaya membaca yang lebih mendalam dan kritikal. Tanpa gangguan visual dan iklan seperti di skrin digital, pembaca mampu memberikan tumpuan penuh, sekali gus merangsang perkembangan kognitif, terutama dalam kalangan pelajar. Dalam konteks ini, akhbar bercetak berfungsi bukan sahaja sebagai medium penyebaran maklumat, malah sebagai alat bantu pembelajaran yang efektif.

Akhbar bercetak juga memiliki nilai dokumentasi yang tinggi. Ia berfungsi sebagai rekod sejarah fizikal dan artifak budaya yang tidak mudah pupus. Ramai yang masih merindui sentuhan fizikal kertas dan bau dakwat akhbar yang asli—sesuatu yang tidak dapat digantikan oleh paparan skrin.

Kita boleh mengambil iktibar daripada langkah kerajaan Sweden yang pada 2023 yang mengambil keputusan untuk kembali kepada penggunaan buku teks bercetak selepas bertahun-tahun mengaplikasikan sistem pendidikan digital sepenuhnya. Langkah ini diambil setelah kajian mendapati penurunan keupayaan literasi dan kefahaman pelajar, terutama di peringkat rendah, akibat pendedahan keterlaluan kepada bahan bacaan digital yang bersifat ringkas dan sering terganggu. Pakar neurologi Sweden menyokong pembacaan dalam bentuk bercetak sebagai kaedah terbaik untuk mengukuhkan ingatan jangka panjang dan pemahaman mendalam.

Jika diterjemahkan dalam konteks kewartawanan, fenomena ini membuktikan bahawa “pengunduran” ke arah pendekatan tradisional bukanlah kekalahan, tetapi suatu bentuk adaptasi bijak terhadap keperluan masyarakat semasa. Dalam dunia yang sarat dengan maklumat pantas tetapi cetek, akhbar bercetak hadir sebagai alternatif yang memperjuangkan kedalaman maklumat, kredibiliti, dan keutuhan fakta.

Namun begitu, kita tidak boleh menolak sepenuhnya kekuatan akhbar dalam talian. Maka, model hibrid harus dirangka—memanfaatkan kelebihan kedua-dua platform. Misalnya, akhbar harian boleh diterbitkan secara digital, manakala versi bercetak diterbitkan dalam bentuk mingguan atau bulanan dengan fokus kepada kandungan berprofil tinggi seperti laporan penyiasatan, analisis mendalam, dan temu bual eksklusif.

Strategi pemosisian semula juga amat penting. Akhbar bercetak tidak lagi harus disasarkan kepada khalayak umum semata-mata, tetapi kepada kelompok khusus seperti komuniti akademik, profesional, dan pelajar. Tambahan pula, pengintegrasian teknologi seperti kod QR dan augmented reality (AR) boleh memperkaya pengalaman pembaca tanpa menjejaskan nilai bercetak. Dengan hasil hibrid yang menarik dan menyokong pembelajaran, kolaborasi boleh dijalankan dengan sekolah untuk membekalkan akhbar bercetak sebagai bahan pembelajaran dan bahan literasi media yang mampu membudayakan semula akhbar sebagai medium pendidikan.

Dengan strategi-strategi ini, kita dapat lihat ada negara yang dapat mengekalkan populariti akhbar bercetaknya seperti Jepun (Yomiuri Shimbun), Australia (The Saturday Paper) dan Jerman (Die Zeit) menerusi penawaran kandungan bermutu tinggi dan strategi pemasaran yang efektif.

Justeru, usaha menghidupkan semula akhbar bercetak bukanlah sekadar mimpi romantik, tetapi langkah strategik ke arah memperkukuh budaya membaca, memperjuangkan kewartawanan beretika, dan memelihara warisan intelektual negara. Langkah “mengundur” ini bukanlah langkah ke belakang, tetapi satu bentuk kemajuan yang berakar pada nilai dan tradisi kewartawanan yang berkualiti.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter