KUCHING, 27 Oktober – Hampir 40 pegawai dari Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menyertai Kursus Penulisan Profesional dan Komunikasi Efektif yang berlangsung selama dua hari di Kuching bermula hari ini.
Kursus ini dikendalikan oleh tenaga pengajar Malaysian Press Institute (MPI), Mohd Faizal Zakaria, dengan tumpuan kepada kemahiran penulisan media, penceritaan data dan penyampaian mesej yang berkesan kepada khalayak.
Sebagai agensi komunikasi rasmi Kerajaan Sarawak, UKAS berperanan penting menyalurkan maklumat dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan negeri kepada rakyat melalui pelbagai platform media. Penganjuran kursus ini dilihat mampu memperkukuh keupayaan pegawai UKAS dalam menghasilkan kandungan yang lebih profesional, berimpak dan relevan dengan kehendak semasa.








