KUALA LUMPUR, 13 November — Anugerah Media PERKESO 2025 menekankan kepentingan liputan media dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu keselamatan sosial, termasuk sektor tidak formal, ekonomi ihsan serta peranan rehabilitasi dalam kelangsungan sosioekonomi negara.
Sebagai usaha memastikan proses penjurian yang profesional dan berwibawa, Malaysian Press Institute (MPI) sekali lagi bertindak sebagai rakan strategik penjurian bagi edisi 2025. Delegasi MPI hadir diketuai Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong bersama Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail serta barisan sekretariat MPI. Penglibatan ini mengukuhkan kepercayaan terhadap MPI sebagai institusi yang berautoriti dalam penilaian karya kewartawanan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, dalam ucaptama perasmian menyifatkan media sebagai ‘the fourth estate’ atau kuasa keempat yang memainkan peranan penting dalam membentuk kesedaran rakyat mengenai kepentingan jaringan keselamatan sosial. Beliau menegaskan bahawa laporan berimpak tinggi mampu mengangkat pelbagai inisiatif PERKESO, termasuk program saringan kesihatan bagi menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Sebanyak 115 penyertaan diterima tahun ini merangkumi tujuh kategori termasuk laporan TV, radio, podcast, fotografi serta media digital dan cetak. Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
MPI merakamkan ucapan tahniah kepada semua pemenang Anugerah Media PERKESO 2025 atas komitmen, ketekunan dan mutu karya yang dihasilkan. Para pemenang serta seluruh pengamal media diseru tidak berhenti berkarya dan terus menghasilkan laporan yang berkualiti, beretika dan memberi impak kepada masyarakat.
“MPI mengucapkan terima kasih kepada PERKESO atas kepercayaan yang diberikan dalam aspek penjurian. Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dalam usaha mengangkat mutu kewartawanan negara,” kata Pengurus (Anugerah) Projek Khas MPI, Salman Husni Abdollah dalam majlis berkenaan.
MPI berharap PERKESO dapat meneruskan penganjuran anugerah ini pada tahun hadapan sebagai kesinambungan pengiktirafan terhadap karya media yang berkualiti dan berimpak. MPI turut menyatakan kesediaan untuk menjalinkan kerjasama berterusan bagi menjayakan penganjuran seterusnya.











