KOTA KINABALU, 4 Februari – Malaysian Press Institute (MPI) menawarkan beberapa pakej latihan profesional kepada Suria Capital Holdings Berhad bagi memperkukuh kecekapan perhubungan media, komunikasi korporat serta pendekatan komunikasi strategik berorientasikan penyelesaian (solution-based communication) selaras dengan keperluan operasi organisasi.
Tawaran tersebut dibincangkan dalam satu pertemuan yang melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Haji Ainol Amriz Ismail bersama Pengurus Besar, Puan Norlida Jamain serta Encik Muhammad Asyraf Rosmidi, Eksekutif Kandungan Kreatif.
Suria Capital Holdings Berhad pula diketuai Puan Julia Ismail, Ketua Hal Ehwal Korporat & Komunikasi Kumpulan; Encik Syahrul Safwan Faisyal Diego, Penolong Pengurus Perhubungan Pelanggan & Perhubungan Kerajaan Sabah Ports; Encik Oscar Gilbert George Francis Perhubungan Pelanggan & Perhubungan Kerajaan Sabah Ports; Encik Maxson Millolis Jonioh, Penolong Pengurus Hal Ehwal Korporat & Komunikasi Kumpulan Suria Capital; serta Encik Andy Ajon, Eksekutif Kanan Hal Ehwal Korporat & Komunikasi Kumpulan Suria Capital.
Antara pakej latihan yang dicadangkan merangkumi kursus literasi media berkaitan pengurusan pelabuhan, latihan jurucakap berkesan serta pemantapan kemahiran komunikasi korporat dalam kalangan kakitangan Suria Capital Holdings Berhad dan anak-anak syarikatnya.
Kerjasama yang dicadangkan ini juga merangkumi penganjuran bengkel dan perkongsian kepakaran bersama pengamal media Sabah termasuk di peringkat nasional.
Kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneroka bentuk kolaborasi yang bersesuaian dan berimpak tinggi dalam memperkukuh hubungan antara organisasi korporat dan media di samping menyokong pembinaan ekosistem maklumat yang bertanggungjawab dan berintegriti.



