Cyberjaya, 3 Jun 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menerima sumbangan berharga berupa koleksi buku daripada Prof. Dato’ Sri Dr. Syed Arabi Syed Abdullah Idid untuk memperkaya bahan bacaan di Perpustakaan Mini MPI, bertempat di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya.
Antara bahan yang disumbangkan termasuk koleksi jurnal Kewartawanan milik beliau yang bertajuk “Journalism: Theory, Practice and Criticism”, yang menghimpunkan perspektif ilmiah dan praktikal dalam dunia kewartawanan moden.
Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, dalam satu sesi ringkas namun bermakna. MPI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan ini yang diyakini mampu menyemarakkan budaya ilmu serta menjadi sumber rujukan bermanfaat kepada warga media dan pelatih komunikasi tanah air.
MPI masih mengalu-alukan sumbangan bahan bacaan daripada mana-mana individu atau organisasi yang ingin bersama menyokong usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran di Perpustakaan Mini MPI. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami di talian 03-8689 2717.
