NEWSCAMP 5.0 Kukuhkan Kolaborasi MPI–UiTM Dalam Latihan Wartawan Muda

SHAH ALAM, 12 November 2025 — Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail, menegaskan bahawa kewartawanan hari ini menuntut wartawan yang bukan sahaja mahir menulis, tetapi juga mampu menterjemahkan makna, melapor berdasarkan pemerhatian sebenar, serta memvisualkan dan menganalisis realiti sosial dengan ketepatan dan empati.

Beliau menyampaikan pesanan itu dalam ucapan ringkas sempena Program Newsroom Champions Bootcamp (NEWSCAMP 5.0) anjuran pelajar Semester 5 Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Program dua fasa itu: Community News Workshop pada 12 November 2025 dan E-Colloquium menjadi platform latihan praktikal untuk melahirkan wartawan muda yang peka terhadap isu komuniti serta bersedia menghadapi cabaran industri media digital.

Terdahulu, Pengarah Projek, Muhammad Haikal Nor Azmi, mengalu-alukan kehadiran para pelajar, pensyarah dan barisan penceramah jemputan, sambil menekankan bahawa NEWSCAMP 5.0 menjadi ruang terbaik bagi pelajar mengasah kemahiran bilik berita dan memupuk keyakinan sebagai wartawan masa depan.

Program dimulakan dengan Workshop 1: Writing Guidance on Community News yang menampilkan Hilmi Abdul Malik, Wartawan Penyiasatan Media Prima Berhad, yang berkongsi panduan dan teknik menghasilkan laporan komuniti berimpak tinggi berasaskan penyelidikan dan tanggungjawab sosial.

Turut menyertai program ialah Mas Zharif Zhafri Aziz Desa, Wartawan Multimedia TV3 dan Penyampai Berita TV9, yang berkongsi pengalaman lapangan serta teknik pelaporan visual dalam dunia penyiaran moden.

Manakala Azwaliza Azman, Ketua Editor Buletin TV3 merangkap Mentor dan Personaliti TV3, turut mengendalikan latihan singkat mengenai kawalan suara dan intonasi semasa penyampaian berita, di samping menekankan kepentingan disiplin dan etika dalam bilik berita.

Menurut Dr. Ainol, program seperti NEWSCAMP 5.0 memperlihatkan keupayaan pelajar UiTM memahami keperluan sebenar industri media dan menyesuaikan diri dengan ekosistem Media 5.0 yang berteraskan kemanusiaan, teknologi dan kreativiti.

“Wartawan masa depan bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi penterjemah makna kepada masyarakat, yang mampu membina kefahaman, menghidupkan nilai dan memperkukuh kepercayaan,” katanya.

MPI akan berada di UiTM Rembau, Negeri Sembilan pada 9 Disember 2025 untuk program kemuncak Forum Mini Kewartawanan.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter