Cyberjaya | 8 Januari 2026 – Pagi ini, Malaysian Press Institute (MPI) menerima kunjungan daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) bagi membincangkan pelaksanaan penganjuran Pertandingan Liputan Media Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) 2025 ke peringkat seterusnya. Perbincangan tersebut menumpu kepada mendapatkan pandangan dan sokongan MPI mengenai proses penilaian dan penghakiman bagi pertandingan berkenaan.
Dalam sesi perbincangan ini, MPI menyatakan kesediaan untuk bekerjasama khususnya dalam memberi khidmat kepakaran dari sudut penghakiman, bagi memastikan penilaian yang dilaksanakan menepati intipati dan piawaian sesebuah anugerah yang melibatkan pengamal media serta organisasi media.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengarah Teknologi Pengurusan Moden, Malaysia Productivity Corporation (MPC), Puan Saliza Saari, serta Pengurus Program Chemical Productivity Nexus, Malaysia Productivity Corporation (MPC), Encik Al Hisyam bin Abdul Halim bersama beberapa orang sekretariat MPC yang lain. Kunjungan disambut oleh Unit Projek Khas, Pengurus Anugerah MPI, Encik Salman Husni Abdollah dan Pelatih Kandungan Kreatif, Aisyah.
Dengan adanya hasil perbincangan seperti ini, ia membantu MPC memperoleh gambaran yang lebih jelas dan menyeluruh mengenai struktur penghakiman yang sesuai bagi penganjuran pertandingan media ini.











