The Dot. | Cepat Tidak Semestinya Benar

Dalam landskap komunikasi moden yang berubah pantas, persoalan tentang pilihan sumber berita, sama ada akhbar, televisyen, radio atau media sosial, ia bukan sekadar soal platform, tetapi soal kepercayaan, kecepatan dan kredibiliti maklumat.

Apabila masyarakat hari ini ditawarkan pelbagai saluran maklumat, keputusan untuk memilih bukan lagi berasaskan kesetiaan terhadap jenama media, tetapi sejauh mana maklumat itu dapat diperoleh segera, dipercayai dan sesuai dengan gaya hidup digital. Maka, apabila diajukan persoalan “jika diberi pilihan, anda ingin membaca akhbar, menonton televisyen atau memilih saluran media sosial?”, jawapan sebenarnya melambangkan perubahan besar dalam budaya maklumat dan perilaku komunikasi awam.

Realitinya, media sosial kini menjadi saluran utama bagi kebanyakan rakyat untuk mendapatkan berita terkini. Keadaan ini disokong oleh statistik global yang menunjukkan lebih 70 peratus pengguna Internet di bawah umur 40 tahun menjadikan platform seperti TikTok, Instagram, Telegram dan X sebagai sumber berita harian.

Kecepatan informasi di ruang maya mencipta satu bentuk kebergantungan baharu, dengan masyarakat tidak lagi menunggu berita, sebaliknya berita mencari mereka. Notifikasi, hantaran segera dan rakaman langsung telah mengubah konsep melapor kepada menyaksikan. Dalam ekosistem ini, khalayak menjadi pelapor dan pengulas serentak. Akibatnya, media tradisional seperti akhbar, televisyen dan radio berdepan krisis relevansi dan daya saing.

Namun, perubahan ini tidak sepenuhnya bersifat negatif. Ia mencerminkan proses evolusi media yang memerlukan penyesuaian drastik. Media tradisional yang masih beroperasi dengan paradigma lama, menyiarkan berita esok, mengulang kenyataan rasmi atau menunggu pengesahan panjang – pasti akan kehilangan audiens kepada media sosial yang bersifat langsung, interaktif dan reaktif.

Tetapi di sinilah letaknya cabaran sebenar: kecepatan tidak menjamin kebenaran dan pada masa yang sama kelebihan media arus perdana perlu dipulihkan. Dalam banjir maklumat dan desakan berita palsu, masyarakat masih memerlukan institusi media yang berwibawa untuk menapis, mengesahkan dan menstrukturkan maklumat supaya menjadi pengetahuan.

Dalam konteks ini, daya saing akhbar, televisyen dan radio bukan lagi diukur melalui kecepatan, tetapi melalui ketepatan, kredibiliti dan konteks. Akhbar boleh kekal relevan dengan menjadi pusat pencerahan dengan menyediakan analisis, tafsiran dan penjelasan mendalam yang tidak ditawarkan oleh media sosial. Televisyen pula mesti berubah daripada sekadar saluran visual kepada pengalaman berita berasaskan kepelbagaian platform: siaran langsung disertai interaksi media sosial, visual data dan naratif manusia. Radio pula, walaupun sering dianggap lapuk, sebenarnya memiliki kelebihan tersendiri dalam konteks pendengaran aktif. Ia dapat mencipta keintiman dengan pendengar, memberi ruang renungan di sebalik kesibukan maklumat yang visualnya sering menyesakkan.

Senario nyata di Malaysia memperlihatkan bagaimana media sosial telah mengubah persepsi publik terhadap isu nasional. Contohnya, ketika berlaku bencana alam, kejadian buli atau krisis politik, video dan hantaran langsung di TikTok atau X menjadi sumber maklumat pertama kepada jutaan pengguna.

Namun, tidak semua yang tular itu benar. Dalam beberapa kes, video lama dikitar semula, konteks dimanipulasi dan emosi awam digerakkan tanpa bukti sahih. Akibatnya, wujud fenomena yang disebut sebagai information fatigue – keletihan maklumat – apabila masyarakat terhimpit antara keinginan untuk tahu dengan keraguan terhadap apa yang dilihat. Inilah kesan psikososial paling ketara akibat kederasan komunikasi digital.

Kesan lain yang perlu diteliti ialah krisis kepercayaan terhadap media arus perdana. Sebahagian khalayak mula menganggap institusi media sebagai lambat, terikat dengan birokrasi, dan tidak bebas daripada agenda politik. Sebaliknya, media sosial memberikan ruang kepada suara rakyat, walaupun tidak semestinya suara yang benar. Dalam keadaan ini, tanggungjawab wartawan menjadi semakin berat. Mereka bukan sahaja perlu menulis dengan pantas, tetapi juga menentang arus informasi celaru yang disebarkan oleh pengguna biasa. Satu kesilapan kecil dalam fakta boleh menghancurkan kredibiliti sesebuah organisasi berita.

Maka, perubahan drastik yang diperlukan bukan sekadar dalam teknologi, tetapi dalam falsafah kewartawanan. Media tradisional mesti berani menerima hakikat bahawa mereka kini bukan lagi sumber tunggal maklumat, tetapi penyemak fakta dan penentu konteks.

Wartawan perlu dilatih dalam kemahiran baharu seperti analitik data, verifikasi digital dan penghasilan kandungan lintas platform (teks, video pendek, infografik dan audio). Institusi media perlu menstruktur semula bilik berita mereka dengan integrasi antara wartawan lapangan dan pengurus kandungan digital yang memahami logik algoritma media sosial.

Dalam dunia maklumat yang serba pantas ini, peranan komunikasi awam juga berubah. Informasi bukan sekadar untuk disampaikan, tetapi untuk membentuk kefahaman dan tindakan. Ketika maklumat palsu mampu memecahbelahkan masyarakat dalam hitungan minit, komunikasi yang benar dan beretika menjadi benteng terakhir kestabilan sosial. Justeru, media tidak lagi boleh berdiri sebagai pemerhati, tetapi sebagai pendidik masyarakat dalam literasi maklumat selain mengajar khalayak menilai sumber, membezakan fakta daripada manipulasi, dan memahami bahawa berita bukan sekadar apa yang tular, tetapi apa yang benar dan bermakna.

Maka pilihan antara membaca akhbar, menonton televisyen atau mengikuti media sosial bukan persoalan teknologi semata-mata, tetapi persoalan nilai dan kepercayaan. Dunia digital tidak dapat dielakkan, tetapi peranan media profesional tidak boleh dihapuskan. Masa depan berita bergantung pada sejauh mana media tradisional mampu beradaptasi dengan budaya digital tanpa mengorbankan etika dan integriti kewartawanan. Di tengah kederasan maklumat dan kekacauan algoritma, masyarakat masih memerlukan satu suara yang tenang, teruji dan berprinsip. Itulah peranan sebenar media dalam era komunikasi baharu ini.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest