Hadirin yang saya hormati,
Persoalan besar juga ialah apakah yang akan dihadapi generasi muda pada 10 tahun akan datang? Pada 2035, kita akan hidup dalam dunia yang lebih digital, lebih automatik dan lebih global. Bahasa Inggeris mungkin terus dominan sebagai bahasa teknologi, tetapi bahasa Melayu akan tetap diuji sebagai bahasa identiti nasional. Generasi muda akan berdepan cabaran untuk mengekalkan keseimbangan antara penggunaan bahasa global untuk ilmu dan bahasa kebangsaan untuk identiti. Jika usaha pemerkasaan bahasa Melayu bermula hari ini, generasi 10 tahun akan datang akan memiliki keyakinan untuk berdiri di pentas dunia dengan dwibahasa yang seimbang, tanpa meninggalkan bahasa kebangsaan. Tetapi jika kita gagal, bahasa Melayu hanya akan kekal sebagai bahasa nostalgia di kalangan rakyat sendiri, tanpa kekuatan di medan ilmu atau media.
Dalam kita membicarakan soal pemantapan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi, kita tidak boleh menafikan peranan media sebagai pemegang amanah yang paling berpengaruh dalam membentuk wacana awam dan minda generasi muda. Sejak awal kemerdekaan, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, menjadi asas identiti negara dan dijanjikan tempat terhormat sebagai wahana ilmu serta komunikasi rasmi. Namun, cabaran yang kita hadapi pada era digital ini menuntut satu strategi yang lebih kreatif, konsisten dan inklusif, kerana bahasa kini bersaing bukan sahaja dengan bahasa Inggeris, tetapi juga dengan dialek media sosial, slanga budaya popular, dan gaya komunikasi ringkas yang berlegar dalam ekosistem global.
Media, dalam konteks ini, berfungsi bukan semata-mata sebagai pengantara maklumat, tetapi sebagai ruang yang memperlihatkan legitimasi bahasa dalam semua bentuknya. Apabila media memilih untuk menyiarkan berita, rencana, dokumentari dan siaran digital dalam bahasa Melayu yang baik, secara tidak langsung ia mendidik khalayak muda tentang kepentingan martabat bahasa. Penyelidikan menunjukkan bahawa bahasa tidak akan lestari hanya kerana ia termaktub dalam undang-undang, tetapi kerana ia terus digunakan, dihidupkan dan diberi makna oleh masyarakat dan media adalah institusi yang paling berkesan dalam mencipta makna itu.
Kita lihat misalnya bagaimana generasi muda lebih banyak mencerna maklumat melalui TikTok, YouTube, Thread, dan platform sosial lain. Apabila ada pengaruh media, baik wartawan, editor mahupun pempengaruh bukan Melayu (yang memilih untuk menutur dan menghasilkan kandungan berkualiti dalam bahasa Melayu), itu memberi isyarat bahawa bahasa ini bersifat terbuka, dinamik dan berdaya saing. Media di sini menjadi penghubung, bukan sekadar melaporkan isu bahasa, tetapi juga menginstitusikan satu gaya hidup berbahasa Melayu dalam bentuk yang segar, kreatif dan sesuai dengan logik algoritma media sosial.
Namun, tidak cukup dengan paparan simbolik. Media mesti menjalankan tanggungjawab forensik bahasa – menegur kesalahan tatabahasa yang berulang, mengangkat isu papan tanda awam yang pincang, membongkar pelanggaran dasar bahasa di IPT, serta mendidik khalayak bahawa bahasa Melayu bukan sekadar milik orang Melayu, tetapi milik seluruh warganegara Malaysia. Ini adalah bentuk kewartawanan yang mendidik, di mana laporan media tidak berhenti pada berita, tetapi menjadi gerakan sosial yang memperjuangkan keadilan linguistik.
Di institusi pengajian tinggi, media perlu hadir dalam dua wajah serentak: pertama, sebagai rakan strategik IPT yang mengangkat program pemerkasaan bahasa Melayu melalui liputan positif, dokumentasi dan wacana kritis; kedua, sebagai agen semak dan imbang yang mengingatkan pentadbir universiti agar tidak mengabaikan dasar bahasa. Dengan itu, generasi mahasiswa dapat melihat bahasa Melayu bukan sebagai simbol nostalgik, tetapi sebagai alat akademik, medium inovasi dan wadah interaksi antarabangsa yang unik.
Hadirin yang saya muliakan,
Isu pemantapan bahasa Melayu generasi muda di IPT ini tidak boleh dilepaskan kepada satu pihak sahaja. Media mesti bergandingan dengan universiti, kerajaan, sasterawan, NGO bahasa dan komuniti digital. Tanpa jaringan ini, segala usaha akan terhenti sebagai slogan kosong. Media harus mengartikulasikan bahawa mempertahankan bahasa Melayu bukanlah usaha mengurung bangsa, tetapi sebaliknya membuka ruang kepada keyakinan diri, identiti global dan kesinambungan tamadun.
Bahasa Melayu sepatutnya menjadi lambang penyatuan rakyat, bahasa rasmi negara dan bahasa ilmu di universiti. Namun apabila mahasiswa sendiri lebih selesa dengan bahasa campuran, tahap penguasaan bahasa kebangsaan yang betul semakin menurun. Mereka mungkin masih boleh menulis tugasan rasmi dalam bahasa Melayu, tetapi dalam perbualan harian, mesej ringkas dan juga kapsyen media sosial, bahasa rojak lebih mendominasi.
Fenomena ini tidak boleh dipisahkan daripada pengaruh media. Media arus perdana dan terutama sekali media sosial telah membentuk corak bahasa generasi muda. Algoritma platform digital lebih mengangkat kandungan yang mudah dihadam, ringkas dan bersifat santai. Maka muncullah konten video, komen dan kapsyen yang penuh dengan campuran bahasa. Generasi muda meniru gaya ini kerana ia kelihatan lebih dekat dengan identiti mereka. Masalahnya, lama-kelamaan bahasa Melayu baku dilihat sebagai terlalu kaku, terlalu formal dan tidak sesuai untuk dunia mereka yang pantas dan ringkas.
Di IPT pula, suasana ini semakin jelas. Perubahan itu dapat dilihat ketika ada yang `berkarya’ dalam media sosial. Mahasiswa yang sepatutnya dilatih menjadi golongan intelektual dan pemimpin masa depan semakin terikat dengan gaya komunikasi rojak di media sosial. Ada yang mula terbawa-bawa sehingga menjejaskan kualiti penulisan tugasan. Ada juga yang menganggap tidak salah mencampur bahasa kerana itulah “bahasa sebenar” anak muda hari ini. Jika gaya ini berterusan, IPT sebagai benteng bahasa ilmu tidak lagi mampu mempertahankan maruah bahasa kebangsaan.
Inilah yang menjadi kebimbangan utama apabila kita kaitkan dengan Perkara 152. Perlembagaan telah meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan untuk semua urusan rasmi negara. Tetapi apa gunanya peruntukan itu jika generasi muda sendiri tidak menghayati semangatnya? Perkara 152 tidak boleh hanya tinggal sebagai tulisan undang-undang. Ia perlu dihidupkan melalui amalan, rasa bangga dan kesedaran setiap anak muda. Jika tidak, bahasa Melayu akan dilihat sekadar simbol, bukan realiti yang mewarnai kehidupan negara.
Media dan IPT sebenarnya memainkan peranan yang amat penting. Media boleh membentuk trend, mencipta contoh bahasa yang baik, segar dan menarik minat anak muda. IPT pula boleh menjadi medan latihan yang memastikan mahasiswa tidak sekadar cemerlang dalam ilmu, tetapi juga teguh dalam penguasaan bahasa kebangsaan. Jika kedua-dua institusi ini bergerak seiring, bahasa Melayu bukan sahaja kekal, malah boleh tampil sebagai bahasa yang moden, hidup dan dihormati di peringkat antarabangsa.