The Dot. Edisi Khas | Patriotisme Bahasa (Siri Akhir)

Hadirin sekalian,

Generasi muda perlu melihat bahasa Melayu sebagai bahasa masa depan, bukan bahasa masa lalu.

Maka, marilah kita bersama-sama – pengamal media, pendidik, mahasiswa, ibu bapa dan seluruh masyarakat, menjadikan bahasa Melayu sebuah ekosistem hidup yang segar, bermaruah dan disegani. Media telah membuktikan kemampuannya untuk mengubah pemikiran rakyat sejak sebelum kemerdekaan lagi. Kini, tibalah masanya media menggunakan kuasa itu untuk meleraikan isu bahasa dan memantapkannya sebagai nadi generasi muda di IPT.

Perkara 152 meletakkan asas, tetapi media yang menghidupkan bahasa kebangsaan. Dari 1957 hingga kini, media telah mengubah bahasa Melayu daripada bahasa perjuangan kepada bahasa rasmi, daripada bahasa elit kepada bahasa rakyat dan kini kepada bahasa digital. Tahun 2025 menuntut kita menggunakan media sebagai alat pemerkasaan generasi IPT.

Media boleh membantu universiti menjayakan pelan ini dengan memperkukuh liputan akademik, menyediakan ruang latihan bahasa ilmiah, menormalisasikan penggunaan bahasa kebangsaan di media sosial, menjaga mutu bahasa dalam penyiaran dan membuka ruang antarabangsa untuk bahasa Melayu. Jika semua ini dilakukan dengan konsisten, maka generasi muda IPT akan membesar dengan keyakinan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa masa depan, bahasa ilmu, bahasa ekonomi dan bahasa dunia.

Hadirin sekalian,

Generasi muda hari ini hidup dalam zaman yang serba terbuka, di mana pengaruh bahasa asing, budaya popular dan gaya komunikasi pantas telah mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Jika dibiarkan, proses ini akan menghasilkan satu generasi yang terputus daripada akar sejarahnya, longgar pegangan jati dirinya dan menganggap bahasa Melayu sekadar bahasa untuk upacara rasmi, bukan bahasa kehidupan. Oleh itu, patriotisme bahasa mesti ditanam, dipupuk dan dipelihara sebagai satu nilai luhur. Dan proses ini tidak mungkin berlaku dengan sendirinya, melainkan dengan dukungan institusi dan media adalah institusi yang paling berkesan.

Media perlu menampilkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang bernyawa, bahasa yang membawa maruah dan bahasa yang merentas sempadan kaum serta kelompok. Apabila mahasiswa melihat bahasa Melayu dipaparkan dengan indah dalam karya media sama ada berita, dokumentari, drama, rencana ilmiah atau liputan acara nasional, mereka akan mengaitkan bahasa ini dengan nilai kebanggaan, penghormatan dan tanggungjawab. Dari situlah lahir bibit patriotisme bahasa.

Patriotisme bahasa Melayu bukan sekadar mencintai bunyi dan lafaznya, tetapi menghayati makna sejarah dan pengorbanan yang terkandung di dalamnya. Bahasa Melayu adalah bahasa yang memperjuangkan kemerdekaan. Ia menjadi wadah pemimpin menzahirkan hasrat kebebasan, menjadi alat untuk menggerakkan rakyat dan menjadi sempadan yang membezakan identiti kita daripada pengaruh penjajah.

Jika generasi muda tidak memahami dimensi sejarah ini, maka mereka akan gagal melihat bahasa Melayu sebagai warisan perjuangan bangsa. Media mesti terus-menerus mengingatkan generasi tentang hakikat ini, agar patriotisme bahasa tidak terhenti pada slogan, tetapi hidup sebagai kesedaran kolektif.

Saya ingin menutup bicara ini dengan sebuah rayuan. Marilah kita bersama-sama membina generasi muda yang bukan sahaja mahir berbahasa Melayu, tetapi bangga, cinta dan sanggup berkorban demi mempertahankannya. Patriotisme bahasa ini adalah asas kepada patriotisme negara. Tanpa generasi muda yang berjiwa bahasa, mustahil kita dapat melahirkan generasi yang berjiwa bangsa. Dan tanpa generasi yang berjiwa bangsa, mustahil kita dapat mempertahankan kedaulatan negara di pentas dunia.

Maka, sekali lagi wahai pengamal media, wahai pendidik, wahai mahasiswa dan wahai seluruh warga Malaysia: pertahankanlah bahasa ini dengan penuh kasih sayang. Jangan biarkan ia hanya menjadi hiasan perlembagaan, tetapi hidupkan ia dalam kehidupan harian. Jadikan bahasa Melayu lambang cinta kita kepada tanah air dan biarlah generasi muda tumbuh sebagai generasi yang berjiwa patriotisme bahasa Melayu – generasi yang akan membawa bangsa ini ke masa depan dengan penuh maruah dan keyakinan.

Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufik walhidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter