Kewartawanan hari ini sedang berdiri di antara dua dunia. Dunia yang menuntut kecepatan dan dunia yang menuntut ketepatan. Dalam pergolakan ini, yang paling banyak terkorban bukanlah berita, tetapi kepercayaan. Media arus perdana yang suatu ketika dahulu menjadi lambang kewibawaan dan rujukan utama maklumat kini bergelut dengan krisis keyakinan yang semakin mencabar.
Khalayak kurang memandang media sebagai sumber sahih tanpa soal, sebaliknya mereka menilai setiap berita dengan curiga, meneliti niat di sebalik naratif dan membandingkan laporan rasmi dengan sumber yang lebih bersifat peribadi di media sosial.
Fenomena ini bukan datang secara tiba-tiba. Ia berpunca daripada perubahan mendasar dalam ekosistem maklumat dan perilaku manusia terhadap kebenaran. Dalam era digital, kebenaran bukan lagi sesuatu yang tunggal, tetapi berpecah mengikut tafsiran dan emosi kumpulan. Khalayak memilih untuk mempercayai apa yang mereka rasa benar, bukan semestinya apa yang benar secara fakta. Platform media sosial mengukuhkan lagi keadaan ini apabila algoritma mereka memberi ganjaran kepada kandungan yang mencetuskan reaksi emosi berbanding laporan yang rasional dan berimbang. Maka, dalam setiap isu besar, dari politik hingga kemanusiaan, wacana awam menjadi arena emosi, bukan ruang rasional.
Krisis kepercayaan terhadap media arus perdana juga berpunca daripada kelemahan media sendiri menyesuaikan diri dengan logik baharu komunikasi digital. Tatkala dunia beralih kepada kecepatan, media masih terikat dengan struktur lama yang mengikut hairaki dan proses editorial yang kaku. Dalam banyak keadaan, berita menjadi lambat, terasing dan terlalu berhati-hati untuk mendahului pendapat awam.
Dalam jurang masa yang sempit itulah media sosial mengambil alih peranan, bukan kerana lebih benar, tetapi kerana lebih pantas. Khalayak yang dahagakan jawapan tidak menunggu laporan sahih. Mereka mahukan reaksi segera. Lalu, sumber yang paling cepat dilihat sebagai paling relevan, meskipun belum tentu tepat.
Namun, tanggapan bahawa kepercayaan hilang hanya kerana media lambat tidak sepenuhnya benar. Apa yang sebenarnya hilang ialah rasa kejujuran. Khalayak boleh memaafkan kesilapan fakta jika mereka melihat usaha jujur untuk memperbetulkannya. Tetapi mereka tidak akan memaafkan manipulasi, pilih kasih atau kecenderungan terselindung yang memihak kepada kuasa atau kepentingan tertentu.
Inilah punca sebenar kemerosotan kredibiliti media: apabila penonton, pembaca dan pendengar merasakan bahawa berita tidak lagi berpihak kepada kebenaran, tetapi kepada kepentingan. Dalam keadaan ini, setiap tajuk berita menjadi bahan tafsiran politik, bukan maklumat awam.
Di Malaysia, kesan ini lebih jelas apabila khalayak muda semakin jauh daripada media arus perdana. Generasi baharu tidak membesar dengan akhbar, tetapi dengan telefon pintar. Mereka membina pandangan dunia melalui video pendek, podcast dan suara komuniti digital yang mereka percayai. Kepercayaan mereka tidak lagi berasaskan institusi, tetapi individu.
Wartawan tidak lagi mempunyai kelebihan simbolik hanya kerana mereka bernaung di bawah jenama besar. Kini, seseorang pempengaruh dengan telefon dan mikrofon mampu mencipta kesan yang lebih luas daripada wartawan yang menulis di ruang berita utama.
Masalahnya, kebebasan maklumat tanpa kawalan turut melahirkan kekacauan maklumat. Informasi celaru, propaganda dan manipulasi kini merebak dengan mudah atas nama kebebasan bersuara. Dalam keadaan ini, peranan media arus perdana wajar menjadi semakin penting. Bukan untuk bersaing dalam kelajuan, tetapi untuk mengimbangi keterujaan dengan ketelitian.
Namun, banyak organisasi media tersilap strategi. Mereka cuba meniru gaya media sosial dengan tajuk sensasi, gaya santai dan bahasa populis demi meraih perhatian. Usaha itu mungkin berjaya menarik klik, tetapi gagal menambah kepercayaan. Khalayak tidak mencari media yang meniru suara jalanan sebaliknya mereka mencari suara yang mampu menenangkan kekeliruan jalanan.
Kekuatan sebenar media arus perdana bukan pada kehebatannya bersaing dengan algoritma, tetapi pada keupayaannya menjelaskan realiti dengan tuntas. Di sinilah ketepatan fakta dan kejujuran editorial menjadi tunjang. Dalam dunia yang dipenuhi maklumat separuh benar, tugas utama media bukan sekadar menyampaikan berita, tetapi membina kefahaman. Kewartawanan seharusnya kembali kepada fungsi asalnya iaitu menjadi penghubung antara fakta dan makna.
Setiap berita mesti melalui proses semakan silang yang ketat, setiap tajuk mesti menggambarkan isi sebenar dan setiap laporan mesti menanggung niat yang bersih. Semua ini untuk memberi maklumat, bukan memanipulasi persepsi.
Namun kepercayaan tidak akan lahir daripada fakta semata-mata. Ia menuntut keinsafan etika dan empati kemanusiaan. Dalam banyak kes, media arus perdana kehilangan hati khalayak kerana gagal memahami emosi di sebalik isu. Pelaporan tragedi, bencana atau konflik sering dihadirkan dengan nada sensasi, seolah-olah penderitaan manusia hanya bahan tontonan. Gambar ditunjukkan tanpa sensitiviti, tajuk dibina tanpa timbang rasa dan kisah manusia dipendekkan menjadi statistik. Apabila berita kehilangan rasa, khalayak akan berpaling. Mereka tidak mahu lagi menjadi saksi kepada penderitaan yang dijadikan hiburan.
Untuk mengembalikan keyakinan khalayak, media perlu memulihkan hubungan emosionalnya dengan manusia. Setiap berita harus menonjolkan suara mereka yang terpinggir, bukannya sekadar suara elit atau sumber rasmi. Kewartawanan yang berjiwa manusia bukan sahaja memetik fakta, tetapi menzahirkan nilai kemanusiaan. Hal belas kasihan, keadilan dan kejujuran. Dalam dunia yang semakin mencabar, empati ialah bentuk kekuatan yang baharu. Wartawan yang mampu menulis dengan empati tidak akan kehilangan pembaca, walau di zaman paling skeptikal sekalipun.
Krisis kepercayaan terhadap media juga memperlihatkan jurang antara wartawan dan khalayak. Media sering bercakap kepada masyarakat, bukan bersama mereka. Gaya pemberitaan yang kaku dan dipenuhi jarak kemanusiaan, menjadikan media kelihatan jauh dan dingin. Sedangkan khalayak hari ini mahu merasa terlibat, bukan sekadar disuapkan maklumat. Media perlu mengubah pendekatan. Bukan menjadi populis, tetapi inklusif. Perbualan awam perlu dikembalikan ke tengah masyarakat melalui ruang interaksi yang terbuka, jujur dan mendidik. Apabila khalayak dilibatkan dalam wacana, mereka bukan sahaja memahami berita, tetapi merasa memiliki kebenaran bersama.
Dalam semua ini, tanggungjawab wartawan menjadi semakin besar. Wartawan moden bukan sekadar penyampai berita, tetapi penjaga makna. Dalam dunia pasca-kebenaran, tugas utama kewartawanan ialah memelihara nilai kebenaran daripada tenggelam dalam kebisingan. Ini memerlukan keberanian moral, keberanian untuk menulis dengan integriti walaupun melawan arus. Ketika masyarakat terbahagi dengan suara yang bercanggah, media perlu menjadi ruang yang menenangkan, bukan menyalakan api.
Mengembalikan keyakinan khalayak terhadap media arus perdana bukan tugas sehari. Ia proses panjang yang menuntut kejujuran, ketelusan dan konsistensi. Ia memerlukan reformasi dalam ruang editorial, pendidikan media yang berterusan dan hubungan dua hala antara wartawan dan khalayak. Lebih daripada itu, ia memerlukan hati nurani, kesedaran bahawa setiap berita yang ditulis mempunyai kesan kepada jiwa manusia.
Apabila media kembali kepada asasnya, kepercayaan akan datang dengan sendirinya. Kewartawanan yang jujur, berempati dan berprinsip tidak perlu memaksa orang mempercayainya. Ia akan dipercayai kerana kebenarannya dapat dirasakan. Dalam dunia yang semakin tidak pasti, kejujuran adalah mata wang terakhir yang masih bernilai. Apabila media menegakkan kebenaran bukan kerana populariti, tetapi kerana tanggungjawab, maka kewartawanan akan kembali bermaruah dan khalayak akan kembali percaya.



