“SOP Media” atau Prosedur Operasi Standard untuk media membuat liputan di zon konflik atau kawasan bencana merupakan topik penting yang ditekankan di dalam Bengkel Pemberitaan Bencana Berkesan yang diadakan di Hotel Hilton Kuching Sarawak pada 19 – 21 Mac 2018 yang lepas.
Bengkel yang berlangsung dengan jayanya anjuran bersama Malaysian Press Institute (MPI) dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur telah dihadiri seramai 27 orang wartawan media cetak, elektronik dan media baharu masing-masing mewakili 14 pertubuhan media Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia termasuk seorang sekretariat dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.
Objektif utama kursus ialah untuk memperbaiki laporan pengamal media mengenai kejadian bencana seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran dan kemalangan pesawat disamping menjalinkan hubungan baik dengan agensi-agensi dalam jawatankuasa pengurusan bencana di setiap negeri untuk mempastikan hanya maklumat yang disahkan dan tepat disebarkan kepada rakyat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Mr. Morgan J. O’Brien lll, Pegawai Media Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.
Sepanjang tiga hari berkursus, para peserta berpeluang mendapat banyak tip dan maklumat berguna untuk tugas harian mereka lebih-lebih lagi dalam melaporkan berita bencana daripada seorang penulis bebas dan pakar media yang berpengalaman luas dalam membuat liputan bencana dan konflik di negaranya sendiri dan di luar negara, dua orang penceramah jemputan dari Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur yang menerangkan akibat bencana alam dan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Sivik dari perspektif tentera AS, Pengarah dari NADMA dan juga Pemangku Pengarah dari Perkhidmatan Veteriner Sarawak yang bercakap mengenai wabak rabies di Malaysia.
Para peserta juga berpeluang melihat dengan lebih dekat untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai operasi ketika berlaku bencana ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dan meninjau Bilik Gerakan Operasi Pengurusan Bencana Negeri Sarawak kerana dari situlah kawalan keseluruhan bencana dilaksanakan dan pemantauan melalui remote sensing dan satelit data diselaraskan yang mana adalah wajar untuk media mengetahuinya.
Di akhir kursus, para peserta menerima sijil penyertaan masing-masing yang disampaikan oleh Editor Kanan Pengurusan The Borneo Post, Encik Francis Chan di majlis penutupan dan makan malam bersama media.
Berikut merupakan rangkuman gambar-gambar sepanjang bengkel berlangsung:













(duduk dari kiri ke kanan) di majlis penutupan dan makan malam bersama media.
