Malaysian Press Institute (MPI) mendoakan wartawan tanah air khususnya Zainal Rashid Ahmad (ZRA) dan Razali Awang yang kini ditahan dalam misi Global Sumud Flotilla.
MPI juga menyanjung usaha kru TV AlHijrah, Hajah Serieffa Mushtafa Albakry dan Mazian Seman, yang masih berada di kapal Jong Melayu bagi melaporkan perkembangan misi ini dengan penuh dedikasi dan berfakta.
Usaha semua wartawan dan peserta misi ini mencerminkan keberanian dan peranan mereka sebagai penyampai kebenaran demi kemanusiaan.
Misi ini adalah misi kemanusiaan dan MPI menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus berdoa serta memberikan solidariti agar semua yang ditahan dapat dibebaskan dengan segera.
Dalam masa yang sama, MPI juga mendoakan keselamatan gelombang kedua, pasukan Freedom Flotilla to Gaza yang kini sedang bergerak selepas Global Sumud Flotilla. Misi kali ini melibatkan kapal yang lebih besar, dianggotai oleh mereka yang berpengalaman dan pernah ke Gaza sebelum ini. Mereka telah bersedia dengan strategi dan langkah sewajarnya sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.
Turut serta dalam misi ini ialah wartawan Astro AWANI, Syaff Shukri, yang akan terus membuat liputan dan melaporkan perkembangan terkini sepanjang pelayaran.
MPI teguh menghormati suara kebenaran dan kemanusiaan serta menolak sebarang bentuk kezaliman.
Wartawan melaporkan bukan sekadar mencatat fakta yang terhampar di hadapan mata, tetapi ia adalah naratif tentang kebenaran yang harus dipertahankan walau bagaimana besar pun tekanan yang datang dari pelbagai penjuru. Di medan konflik, di jalanan yang bergolak, di sebalik pagar kawat berduri atau di tengah-tengah jeritan rakyat yang terpinggir, wartawan hadir sebagai saksi kepada sejarah yang sedang ditulis dengan darah, air mata dan ketabahan manusia. Mereka tidak hanya melihat dari jauh, tetapi menyelami denyut nadi penderitaan, merakam suara yang sering ditenggelamkan oleh propaganda dan mengangkat wajah-wajah yang tidak dikenal menjadi lambang keteguhan maruah kemanusiaan.
Melaporkan kebenaran dalam keadaan sebegini menuntut keberanian luar biasa, kerana setiap perkataan boleh menjadi senjata dan setiap imej yang dirakam boleh menggoncang naratif yang cuba ditutup. Wartawan yang menyaksikan kezaliman tidak berdiri sebagai hakim, tetapi sebagai perantara yang membawa bukti kepada dunia. Dengan pena, mikrofon atau telefon mereka, ia memberi ruang kepada suara-suara yang ingin dipadamkan. Mereka menjadi saksi bisu yang bertukar menjadi suara lantang, mengingatkan masyarakat bahawa keadilan hanya akan hadir apabila kebenaran tidak lagi disembunyikan.
Dalam laporan yang tersiar, terselit keberanian yang mungkin tidak selalu disedari khalayak. Ada ketakutan yang harus ditelan, ada ancaman yang harus dihadapi, ada risiko kehilangan nyawa atau kebebasan yang perlu diterima. Namun, di sebalik semua itu, ada rasa tanggungjawab yang lebih besar bahawa dunia berhak tahu, bahawa masyarakat harus sedar, bahawa sejarah tidak boleh diputarbalikkan tanpa ada saksi yang berani menulisnya. Wartawan melaporkan bukan untuk mencari nama, tetapi kerana mereka percaya, setiap kebenaran yang ditulis akan kekal menjadi cahaya dalam gelita penindasan.