Cyberjaya, 22 Mei 2025 – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menerima sumbangan koleksi buku daripada Dr. G. Manimaran, Perunding Media dan Komunikasi, untuk Perpustakaan Mini MPI.
Antara bahan bacaan yang disumbangkan termasuk karya utama penulisan beliau iaitu, Pilihan Raya Demokrasi Malaysia, yang menghimpunkan sorotan pengalaman serta analisis dalam bidang kewartawanan politik dan proses demokrasi negara. Koleksi ini dijangka menjadi sumber berguna dalam memperkukuh kefahaman dan meningkatkan kualiti pelaporan media.
“Saya harap buku-buku ini dapat dimanfaatkan oleh pengamal media sebagai panduan dalam melaksanakan tugasan mereka,” ujar Dr. G. Manimaran ringkas.
Penyerahan koleksi tersebut telah diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail, yang bertempat di Pusat Latihan MPI, Cyberjaya. MPI merakamkan penghargaan terima kasih atas sumbangan berharga ini yang diharap mampu menyemarakkan budaya ilmu dan menjadi pusat rujukan buat kalangan warga media tanah air.
MPI masih mengalu-alukan sumbangan bahan bacaan bagi memperkaya koleksi Perpustakaan Mini di Pusat Latihan MPI. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Malaysian Press Institute di talian 03-8689 2717.✨🤩


