MPI & ELMU Tandatangan MoU Jalin Kerjasama Strategik

Nilai, 3 September – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di kampus universiti tersebut.

MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong dan Naib Canselor ELMU, Prof. Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed sebagai permulaan kepada kerjasama strategik dalam memperkukuh profesionalisme kewartawanan di negara ini, khususnya dalam bidang pelaporan jenayah yang beretika, tepat dan berasaskan fakta.

Timbalan Presiden MPI merangkap Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima, Farrah Naz Abdul Karim dan Dato’ Wan Azman Wan Omar Timbalan Presiden merangkap Pendaftar ELMU, turut hadir sebagai saksi kepada majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut.

Selepas sesi menandatangani MoU, kedua-dua pihak turut bertukar dokumen sebagai simbolik kepada permulaan kolaborasi yang lebih menyeluruh. Majlis turut disaksikan oleh Ahli Majlis Pentadbir MPI, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA dan Ketua Berita TV Network Digital, Media Prima, Mohd Azri Atan. Manakala ELMU dihadiri bersama oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Presiden, Strategi dan Penyelidikan Kumpulan, Dato’ Hairul Ridza Hayata dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datin Noraini Aripin.

Kerjasama strategik ini akan merangkumi pelbagai inisiatif bersama termasuk penganjuran kursus penulisan berita jenayah, seminar, bengkel, dan Anugerah Media Jenayah. Usaha ini bertujuan memperkasa pengamal media dengan kefahaman mendalam mengenai pelaporan isu-isu berkaitan jenayah dan undang-undang, di samping memperkukuh hubungan antara industri media dan agensi penguatkuasaan.

Menurut Datuk Yong, “Dalam zaman di mana maklumat salah dan sensasi mudah tersebar, kerjasama ini dilihat sebagai satu intervensi penting dalam dunia kewartawanan. Ia adalah seruan untuk meningkatkan tahap piawaian, memupuk rasa hormat yang mendalam antara media dan pihak penguatkuasa serta mengingatkan kita bahawa kewartawanan yang berintegriti bukan sekadar berkisar pada pemberitaan sensasi, tetapi lebih penting lagi ia berperanan dalam membina kepercayaan masyarakat”.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter