NILAI, 23 April 2025 – Pengurusan bagi penerbitan e-Jurnal Malaysian Press Institute (MPI) telah bermula pada sesi pertama mesyuarat yang berlangsung di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam.
Pada sesi itu, banyak perkara telah diputuskan dalam memastikan e-Jurnal Malaysian Press Institute (MPI) yang pertama ini dapat dilancarkan pada 20 Jun 2025 oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof pada Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) di Kuala Lumpur.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Ketua Kumpulan Perunding, Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin dan ahli-ahlinya iaitu Dr. Sofia Hayati Yusoff, Dr. Siti Suriani Othman, Dr. Fauziah Hassan dan Dr. Rosninawati Hussin dari pihak USIM manakala dari pihak MPI dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail dan Pengarang Urusan e-Jurnal Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Nuzatul Shima Sulaiman.
Jurnal yang bakal dilancarkan itu berkonsepkan akademik dan penulisan popular, di mana memberi ruang dan peluang kepada pengamal media khususnya wartawan untuk menulis dalam jurnal ini selain artikel yang disumbangkan oleh para akademik.
Penglibatan USIM dalam penerbitan e-Jurnal ini meliputi aspek semakan dan suntingan artikel selain bertindak sebagai penasihat untuk e-Jurnal ini. Penerbitan e-Jurnal dibawah Malaysian Press Institute (MPI) ini merupakan yang pertama walaupun sebelum ini wujud kolaborasi dengan institusi pendidikan untuk menghasilkan artikel seumpama itu.
Menjadi harapan Malaysian Press Institute (MPI) agar e-Jurnal ini dapat menjadi rujukan kepada pengkaji khususnya dalam bidang media dan komunikasi serta melatih golongan wartawan untuk menulis perkara berkaitan kajian semasa yang lebih berimpak tinggi dan intelektual.
Dengan wujudnya e-Jurnal ini serta kerjasama USIM-MPI, ia tidak mengetepikan prinsip utama pentadbiran MPI iaitu memperkasa latihan, menganjurkan anugerah kewartawanan dan penerbitan, sebaliknya ia adalah nilai tambah kepada fungsi baru untuk meletakkan MPI sebagai pusat ilmu yang sejajar dengan visinya menjadikan ia pusat kecemerlangan kewartawanan yang pelbagai dan holistik.




