MPI Rakan Strategik KPKT

PUTRAJAYA, 20 Mei 2025 –Malaysian Press Institute (MPI) terus diberi kepercayaan sebagai rakan strategik dalam aspek penjurian bagi Anugerah Kecemerlangan Media (AKEMEDIA) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025. Kerjasama berterusan ini mengiktiraf kepakaran MPI dalam bidang kewartawanan profesional dan etikamedia.

Majlis penyerahan surat pelantikan sebagai rakan strategik telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Tuan Nga Kor Ming kepada Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail, semasa Majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan AKEMEDIA KPKT 2025 yang berlangsung di Putrajaya.

Menurut YB Tuan Nga Kor Ming, penglibatan MPI secara berterusan dalam penjurian AKEMEDIA mencerminkan komitmen kementerian untuk memastikan proses pemilihan pemenang anugerah ini dilaksanakan secara telus, profesional dan berwibawa. MPI, sebagai sebuah institusi berpengalaman luas dalam latihan dan pembangunan media, berperanan penting dalam memastikan hanya karya terbaik dan paling berimpak menerima pengiktirafan.

Kerjasama strategik dengan MPI juga akan memastikan ia sejajar dengan matlamat kementerian untuk memperkukuh hubungan dengan pengamal media dan memperluas jangkauan komunikasi berkesan kepada rakyat. AKEMEDIA yang kini memasuki edisi ketiga, merupakan platform pengiktirafan kepada pengamal media yang menyampaikan liputan berkualiti berkaitan inisiatif dan dasar kementerian kepada rakyat.

Anugerah ini terbuka kepada wartawan dari pelbagai platform media termasuk cetak, televisyen, radio, digital dan media sosial.
Kategori yang dipertandingkan termasuk: Anugerah Khas Menteri; Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik; Anugerah Video Portal / Dalam Talian Terbaik; Anugerah Penyiaran Radio Terbaik; Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik; Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik; Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik dan Anugerah Influencer Terbaik.

YB Nga Kor Ming menzahirkan harapan agar Anugerah Kecemerlangan Media (AKEMEDIA) menjadi platform penting bagi mengiktiraf peranan media sebagai rakan strategik dalam penyampaian dasar, program dan inisiatif kerajaan kepada rakyat secara tepat, beretika dan berimpak tinggi.

Beliau percaya bahawa pengiktirafan menerusi AKEMEDIA akan mendorong pengamal media untuk terus menghasilkan karya-karya berkualiti tinggi yang tidak hanya melaporkan berita, tetapi memupuk kefahaman rakyat terhadap dasar kementerian seperti perumahan mampu milik, pembangunan bandar lestari, pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan PBT.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest