Cyberjaya, 6 Jun 2025 – Bertempat di Pusat Latihan Malaysian Press Institute (MPI), telah berlangsung Mesyuarat Lembaga Editorial E-Jurnal Kewartawanan MPI yang diadakan secara hibrid yang menghimpunkan para ahli akademik berpengalaman luas dalam bidang penerbitan dan kewartawanan.
Ahli-ahli akademik yang hadir, antaranya ialah Presiden Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE) Prof. Dr. Mohd Yahya Mohamed Arifin ; Pensyarah Kanan Program Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Fauziah Hassan ; Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Mumtaz Aini Alvi ; Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM, Dr. Rosninawati Hussin dan Pensyarah Pengajian Komunikasi Universiti Xiamen Malaysia, Dr. Aleena Tan Poh Lin. Pensyarah Kewartawanan Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Nik Norma Nik Hassan turut hadir secara atas talian.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail dan Prof. Dr. Mohd. Yahya. Turut hadir ialah Dr. Nuzatul Shima Sulaiman selaku Editor Pengurusan jurnal.
Mesyuarat ini bertujuan untuk memperkukuh hala tuju penerbitan E-Jurnal Kewartawanan MPI, termasuk memperkemaskan dasar editorial, memperluas jaringan kolaborasi akademik, serta memastikan kualiti artikel yang diterbitkan memenuhi piawaian akademik dan profesional.
Rakaman video di sebalik tabir perbincangan dan kerja-kerja penerbitan E-Jurnal ini turut diambil semasa mesyuarat berlangsung yang dijangka akan disiarkan pada Malam Kewartawanan Malaysia 2025 pada 20 Jun ini.
Dengan terpilihnya sejumlah manuskrip terbaik hasil daripada mesyuarat ini, MPI maju selangkah lagi dalam komitmennya melahirkan E-Jurnal Kewartawanan yang bakal menjadi platform ilmiah perkongsian ilmu dan hasil penyelidikan dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi.






