Kuala Lumpur, 14 Jun 2025 – Forum Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 membuka tirainya hari ini dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong. Program tersebut diteruskan dengan Sesi 1 perbincangan penting bertajuk “Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?” yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Center Kuala Lumpur.
Sesi ini menghimpunkan barisan panelis yang berwibawa dalam bidang media dan kewartawanan, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia, Encik Premesh Chandran; Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ) Malaysia, Puan Wathshlah G. Naidu; Editor Kanan Berita di Star Media Group, Encik Philip Golingai; serta Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican.
Forum ini dikendalikan oleh moderator berpengalaman, Puan Jessy Chahal, yang juga merupakan penyampai dan penerbit televisyen di Bernama TV.
Sepanjang Sesi 1 berlangsung, para panelis membincangkan dengan lebih mendalam mengenai hala tuju dan fungsi Majlis Media Malaysia (MMM) termasuk tanggungjawab dan fungsi badan kawal selia industri media atau pelindung kepada kebebasan media di negara ini. Perbincangan turut merangkumi aspek penting seperti kebebasan bersuara, keperluan undang-undang dan dasar berkaitan media, serta tanggungjawab pengamal media dalam memastikan etika dan profesionalisme kewartawanan terus dipelihara.
Forum ini menjadi platform yang signifikan dalam mempertemukan pelbagai pihak berkepentingan untuk bertukar pandangan serta mencadangkan langkah penambahbaikan ke arah memperkukuhkan industri media Malaysia. Ia juga merupakan antara acara utama dalam rangkaian program Kemuncak HAWANA 2025.





