Kuala Lumpur, 10 Mac 2026 – Dalam usaha menghargai peranan pengamal media serta mengeratkan hubungan strategik dengan industri kewartawanan, PETRONAS menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama media di Menara Berkembar PETRONAS, malam tadi.
Ketibaan para tetamu disambut oleh pasukan Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS sebelum majlis berbuka puasa berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Naib Presiden Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS, Ir Norafizal Mat Saad yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan kepada para hadirin.
Hadirin juga dipersembahkan dengan tayangan khas video raya PETRONAS 2026 bertajuk “Seindah Ramadan”, yang mengetengahkan nilai kekeluargaan, kebersamaan dan keindahan berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.
Majlis ini turut dihadiri barisan pengamal media daripada pelbagai organisasi media.
Turut hadir mewakili Malaysian Press Institute (MPI) ialah Presidennya, Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail; serta Eksekutif Kandungan Kreatif, Muhammad Asyraf Rosmidi.
Penganjuran majlis seperti ini mencerminkan komitmen PETRONAS dalam mengeratkan hubungan strategik dengan komuniti media, di samping menghargai sumbangan mereka dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat.







