MPI-APM Bincang Inisiatif Baharu

KAJANG, 12 Jun – Usaha memperkukuh kerjasama strategik antara institusi media dan agensi keselamatan negara terus diperkasakan apabila Malaysian Press Institute (MPI) mengemukakan beberapa cadangan inisiatif bersama kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam satu pertemuan rasmi yang berlangsung di Ibu Pejabat APM, Kajang hari ini.

Antara cadangan utama yang dibincangkan ialah penganjuran Siri Akademia Media APM-MPI, pelaksanaan Latihan Komunikasi Media untuk pegawai dan anggota APM serta pewujudan Anugerah Media APM sebagai platform mengiktiraf pengamal media yang cemerlang dalam melaporkan isu berkaitan pengurusan bencana, keselamatan awam dan kesiapsiagaan komuniti.

Cadangan tersebut dikemukakan dalam sesi kunjungan hormat delegasi MPI yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail kepada Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, YAS KPj. (PA) Mohammad Abiddin Abd Rahman.

Pertemuan berkenaan turut membuka ruang perbincangan mengenai pelbagai bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan secara berterusan bagi memperkukuh keupayaan komunikasi organisasi, pembangunan profesional warga APM serta memperluas kefahaman masyarakat terhadap peranan dan fungsi pertahanan awam dalam pengurusan kecemasan serta bencana negara.

Salah satu cadangan utama ialah penganjuran Siri Akademia Media APM-MPI, sebuah platform perkongsian ilmu yang menghimpunkan pengamal media, editor, wartawan dan pengamal komunikasi bagi mengikuti sesi penerangan serta perkongsian pengalaman oleh pegawai-pegawai APM. Melalui program ini, peserta berpeluang memahami dengan lebih mendalam aspek pengurusan bencana, operasi menyelamat, kesiapsiagaan komuniti, pengurusan kecemasan, bantuan kemanusiaan serta cabaran yang dihadapi oleh APM dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada negara dan rakyat.

Inisiatif tersebut dilihat mampu membantu pengamal media menghasilkan laporan yang lebih tepat, berfakta dan menyeluruh, khususnya ketika membuat liputan berkaitan bencana, kemalangan, operasi menyelamat dan isu-isu keselamatan awam yang memerlukan kefahaman teknikal serta konteks yang tepat.

MPI turut mencadangkan pelaksanaan Latihan Komunikasi Media untuk Pegawai dan Anggota APM bagi meningkatkan kemahiran komunikasi organisasi, pengendalian sidang media, temu bual, penyampaian mesej strategik serta pengurusan komunikasi ketika berhadapan dengan situasi krisis dan kecemasan.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan mewujudkan Anugerah Media APM sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada pengamal media yang menghasilkan karya berkualiti dan berimpak tinggi dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan bencana, keselamatan komuniti, kesukarelawanan dan peranan pertahanan awam dalam pembangunan negara.

Turut dibincangkan ialah potensi kerjasama dalam bidang latihan profesional, pembangunan kandungan komunikasi strategik, program kesedaran awam, literasi media serta penerbitan bahan komunikasi yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi dan masyarakat secara keseluruhan.

Delegasi MPI turut disertai oleh Puan Norfatin Syahira Jusoh, Eksekutif Pentadbiran/Kesetiausahaan. Hadir sama mewakili APM ialah TKPj. Bersekutu (PA) Dato’ Ismail Mohd Zawawi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan; Kol. (PA) Effendy Hj. Ali, Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan; Lt. Kol. (PA) Roydee Abd Rahman, Ketua Cawangan Pentadbiran Angkatan; serta Lt. M (PA) Muhammad Anas Mohd Saad, Pegawai Khas Ketua Pesuruhjaya.

MPI percaya kerjasama strategik antara institusi media dan APM berupaya memperkukuh hubungan antara kedua-dua sektor, selain meningkatkan kualiti penyampaian maklumat kepada masyarakat. Kerjasama ini juga dijangka dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih peka, berinformasi dan bersedia menghadapi sebarang situasi kecemasan atau bencana pada masa hadapan.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter