SARAWAK, 25 Jun 2026 – Sarawak Tribune telah menganjurkan Kursus Community Content Production pada 24 Jun 2026 di Kuching, Sarawak dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) sebagai penyedia latihan. Kursus ini merupakan program pertama yang dilaksanakan di bawah inisiatif Dana Inovasi Media. Program tersebut dikendalikan oleh Encik Mas Zharif Zhafri Aziz Desa, Wartawan Multimedia TV3 merangkap Pembaca Berita TV9, yang berkongsi pengetahuan serta pengalaman berkaitan penghasilan kandungan media berasaskan komuniti.
Kursus khas ini disertai oleh seramai 15 orang wartawan Sarawak Tribune. Sepanjang sesi latihan, peserta didedahkan kepada konsep dan kepentingan penghasilan kandungan berasaskan komuniti dalam ekosistem media moden. Mereka turut mempelajari kaedah mengenal pasti isu, cerita dan potensi kandungan yang relevan dengan komuniti setempat bagi memastikan laporan dan kandungan yang dihasilkan lebih dekat dengan keperluan serta aspirasi masyarakat.
Selain itu, peserta diberikan pendedahan mengenai teknik penceritaan (storytelling) yang berkesan untuk kandungan komuniti merentasi pelbagai platform media. Mereka juga dibimbing dalam menghasilkan pelan kandungan komuniti yang mampu meningkatkan keterlibatan serta membina kepercayaan audiens. Secara keseluruhannya, kursus ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan memberi manfaat kepada peserta dalam memperkukuh kemahiran menghasilkan kandungan yang lebih relevan, berimpak dan berorientasikan komuniti.





