KUALA LUMPUR, 29 Jun – Malaysian Press Institute (MPI) akan menghimpunkan 25 ketua pengarang dan editor kanan daripada organisasi media utama negara dalam Industry Roundtable 2026: From Insight to Action yang akan berlangsung esok di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur.
Program eksklusif itu merupakan susulan kepada Forum Industri Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact yang berlangsung pada 15 dan 16 Jun lalu di Putrajaya. Sesi meja bulat tersebut bertujuan memperhalusi dapatan serta resolusi forum sebelum dirumuskan sebagai syor kepada Kementerian Komunikasi bagi memperkukuh pembangunan industri media negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail berkata, perbincangan akan memberi tumpuan kepada beberapa isu utama, termasuk pengukuhan etika kewartawanan, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab, pembangunan bakat, literasi media, kelestarian organisasi media serta usaha meningkatkan kepercayaan awam terhadap media profesional.
“Forum yang diadakan sebelum ini telah mengenal pasti pelbagai cabaran dan cadangan penyelesaian. Melalui sesi ini, kita mahu mencapai kesepakatan industri terhadap tindakan yang praktikal dan boleh dilaksanakan. Rumusan perbincangan akan diperhalusi sebelum dikemukakan kepada Kementerian Komunikasi sebagai pandangan bersama industri media,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan ketua-ketua pengarang amat penting kerana mereka merupakan peneraju editorial yang memahami cabaran sebenar bilik berita serta keperluan transformasi media dalam landskap komunikasi yang semakin berkembang.
Menjelang penganjuran esok, persiapan program kini berada pada peringkat akhir dengan sekretariat MPI giat menyelaras kehadiran peserta, dokumen perbincangan serta keperluan teknikal dan logistik bagi memastikan sesi berlangsung dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.







