BATU PAHAT, 1 Julai 2026 – Hari pertama Kursus Mahir Penulisan Media kini sedang berlangsung dengan penyertaan seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada ahli akademik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Prof. Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad, Pengarah Pejabat Pemasaran & Komunikasi Korporat UTHM, yang menekankan kepentingan penguasaan penulisan media sebagai medium strategik dalam memperkukuh penyampaian maklumat, meningkatkan keterlihatan penyelidikan dan mengangkat reputasi universiti kepada masyarakat.
Sesi latihan dikendalikan oleh Encik Zamri Rambli, Ketua Pengarang Sinar Harian, yang berkongsi pengalaman luas beliau dalam industri media serta memperkenalkan prinsip asas penulisan media yang berkesan. Peserta didedahkan kepada teknik menghasilkan siaran media yang memenuhi kehendak organisasi media, memahami nilai berita, mengenal pasti sudut penulisan yang menarik serta mengelakkan kesilapan lazim dalam penyediaan bahan untuk media.

Kursus Mahir Penulisan Media ini dianjurkan bagi memperkukuh kemahiran penulisan media dalam kalangan ahli akademik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), khususnya dalam menghasilkan bahan komunikasi yang tepat, menarik dan memenuhi keperluan organisasi media. Kursus ini memberi pendedahan kepada teknik penulisan siaran media yang berkesan, pemahaman terhadap nilai berita, serta strategi membina hubungan yang lebih baik dengan pihak media.
Melalui pendekatan yang menggabungkan teori, perkongsian pengalaman industri dan latihan praktikal, peserta diharapkan dapat meningkatkan keupayaan menyampaikan pencapaian, penyelidikan dan kepakaran universiti kepada masyarakat secara lebih profesional dan berimpak.









