MELAKA, 5 Ogos 2026 – Seramai 31 wartawan dan petugas Melaka Hari Ini (MHI) menyertai Bengkel Pendidikan Media Digital: Teknologi Maklumat dan Kecerdasan Buatan (AI) di bawah inisiatif Dana Inovasi Media, bagi memperkukuh keupayaan penghasilan kandungan digital berasaskan teknologi AI dan amalan kewartawanan moden.
Pada hari kedua bengkel, peserta menghasilkan tugasan akhir yang mensimulasikan aliran kerja sebenar bilik berita digital. Mereka dibimbing menghasilkan pelbagai aset kandungan termasuk poster digital, motion poster, infografik, visual berita, video pendek, skrip voice over, animasi, visualisasi data dan kandungan media sosial menggunakan gabungan teknologi AI serta kemahiran kewartawanan.
Latihan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Hj. Ainol Amriz Ismail, yang menegaskan bahawa AI perlu dimanfaatkan sebagai teknologi sokongan bagi meningkatkan produktiviti, kreativiti dan keberkesanan penyampaian kandungan tanpa mengabaikan ketepatan fakta, integriti serta pertimbangan editorial.
Majlis penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini, Haji Nasharuddin Muhammad. Turut hadir Ketua Unit Media Sosial MPI, Ibrahim Darman.
Bengkel selama dua hari itu merupakan sebahagian daripada usaha Dana Inovasi Media dalam meningkatkan kemahiran pengamal media menguasai teknologi digital dan AI bagi menghasilkan kandungan yang lebih pantas, tepat, kreatif serta memenuhi keperluan ekosistem media masa kini.











