KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Hari kedua Kursus Penghasilan Kandungan Digital Lanjutan Untuk TV Al Hijrah (Siri 2.0) menjadi semakin menarik dengan sesi pembelajaran disampaikan oleh Encik Munir Anaam Zuljadan, Penganalisa Media dan Mantan Editor Digital NSTP.
Beliau memberi tumpuan kepada strategi kandungan digital serta penggunaan AI bagi menyokong tugasan kewartawanan. Menerusi bengkel secara hands-on, peserta didedahkan kepada kaedah menganalisis prestasi media sosial dan tahap engagement, termasuk memahami data serta metrik bagi menilai keberkesanan kandungan.
Peserta turut diperkenalkan kepada pelbagai ejen AI yang boleh dimanfaatkan untuk penyelidikan, penjanaan idea, perancangan kandungan, analisis maklumat dan memperkemas aliran kerja editorial. Dalam masa sama, aspek etika AI dan piawaian editorial turut diberi perhatian, khususnya berkaitan peluang dan risiko penggunaan AI dalam kewartawanan serta kepentingan human oversight bagi memastikan kandungan yang dihasilkan dengan bantuan AI kekal tepat, beretika, bertanggungjawab dan mematuhi prinsip kewartawanan.
Sesi sebelah petang pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Puan Nadia Mohd Izhar, menerusi tajuk “Undang-Undang Media dalam Era Digital”. Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai kerangka undang-undang media di Malaysia, akta berkaitan, isu fitnah, penyebaran maklumat serta tanggungjawab pengamal media dalam menghasilkan dan menerbitkan kandungan digital.
Perbincangan tersebut turut membantu peserta memahami aspek perundangan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan penghasilan dan penerbitan kandungan digital dilaksanakan secara berhemah, tepat dan bertanggungjawab.
Kursus dua hari yang disertai 15 wartawan dan pegawai media TV AlHijrah ini melabuhkan tirai dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta yang disempurnakan oleh Puan Nadia Mohd Izhar.
























