Harimau Malaya Tamat Kursus Strategi Komunikasi Media

KUALA LUMPUR, 30 September 2026 – Hari kedua Kursus Strategi Komunikasi Media dan Kewartawanan Profesional untuk Harimau Malaya melabuhkan tirai hari ini dengan penyertaan seramai 9 peserta daripada Harimau Malaya. Kursus ini merupakan salah satu program yang dilaksanakan di bawah Dana Inovasi Media.

Kursus yang dikendalikan oleh Datuk Badrul Hisam Othman, Jurulatih Profesional HRD Corp, memberi pendedahan kepada peserta mengenai strategi komunikasi media, penghasilan kandungan serta pengurusan persepsi awam. Pada sebelah pagi, peserta didedahkan kepada topik penghasilan kandungan bagi mengurus persepsi, mengenal pasti isu, merancang naratif, menetapkan objektif dan hasil kempen serta pengaruh media baharu terhadap masyarakat.

Pada sebelah petang pula, peserta diberi tugasan berkaitan pembentukan naratif dan perancangan media, mengenal pasti masalah atau krisis serta pelaksanaan komunikasi strategik. Pengisian tersebut memberi penekanan kepada pendekatan yang sistematik dalam merancang komunikasi, mengurus isu dan krisis serta menyampaikan mesej secara lebih berkesan kepada khalayak.

Tahniah MPI ucapkan kepada kesemua 9 peserta yang berjaya menamatkan kursus ini. Semoga ilmu dan kemahiran yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam memperkukuh keupayaan komunikasi serta pengurusan media Harimau Malaya.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest