KUALA LUMPUR, 29 September 2026 — Hari ini merupakan hari pertama Kursus Strategi Komunikasi Media dan Kewartawanan Profesional Untuk Harimau Malaya, sebuah program di bawah Dana Inovasi Media.
Kursus ini dikendalikan oleh Jurulatih Bertauliah HRDC, Datuk Badrul Hisam Othman, dengan penyertaan seramai 9 orang peserta daripada Harimau Malaya di Pejabat Harimau Malaya, Kuala Lumpur.
Sesi pagi dimulakan dengan perkongsian berkaitan pemahaman terhadap media, merangkumi tanggungjawab media dalam masyarakat, evolusi media dan teknologi, serta bagaimana perkembangan teknologi dapat membantu penyampaian berita secara lebih meluas, pantas dan berkesan.
Pada sebelah petang pula, peserta dapat berkongsi pengalaman bersama seorang figura media sukan dengan tajuk Kewartawanan Sukan Dalam Era Clickbait (Trend & Cabaran Terkini).
Perkongsian dalam situasi sebenar sebagai wartawan sukan dan isu-isu yang berkaitan dunia sukan turut didedahkan oleh penampilan istimewa, Encik Rizal Hashim selaku Wartawan Bebas dan Pengulas Sukan. Beliau berkongsi tentang pengalamannya sebagai persediaan kepada peserta untuk memahami kepentingan komunikasi yang strategik, tersusun dan berkesan dalam landskap media yang sentiasa berubah kini.











