KUCHING, 12 Ogos — Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) memperkukuh keupayaan pegawainya dalam komunikasi strategik dan pengurusan media menerusi program Media Spokesperson Training anjuran Malaysian Press Institute (MPI) yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Program yang diadakan di Hotel Sheraton Kuching itu melibatkan dua kumpulan peserta dan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran komunikasi, penyampaian mesej secara berkesan serta persediaan pegawai sebagai jurucakap organisasi ketika berhadapan dengan pihak media.
Seramai lima pegawai PETROS menyertai sesi latihan hari pertama yang dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman, Datin Yusanani Yushak.
Peserta turut menjalani sesi teori dan latihan praktikal, termasuk simulasi temu bual studio edisi lanjutan bagi meningkatkan keyakinan, ketepatan penyampaian mesej serta keupayaan berkomunikasi secara berkesan dalam situasi media.

Latihan berkenaan turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan penyampaian mesej yang jelas dan konsisten, khususnya ketika berhadapan dengan soalan media serta situasi komunikasi yang memerlukan respons pantas dan tepat.
Program akan diteruskan esok dengan penyertaan kumpulan kedua yang melibatkan 12 pegawai PETROS.
Sesi tersebut dijadualkan merangkumi latihan teori dan praktikal termasuk simulasi temu bual studio serta sidang media, sekali gus memberi pengalaman lebih menyeluruh kepada peserta dalam menghadapi situasi komunikasi media sebenar.
Program tiga hari itu dijangka dapat membantu memperkukuh tahap kesediaan pegawai PETROS dalam memainkan peranan sebagai jurucakap organisasi serta menyampaikan maklumat kepada media secara lebih yakin, profesional dan berkesan.
#mpicommit



