PERKESO, MPI anjur Literasi Media Mengenai iLINDUNGu 24 Jam

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perlindungan sosial menerusi inisiatif iLINDUNGu 24 Jam, yang memberikan perlindungan kepada orang berinsurans bukan sahaja ketika berada di tempat kerja, malah di luar waktu bekerja.

Perkara itu diketengahkan menerusi Sesi Literasi Media bersama Pengarang/Wartawan dan Pengumuman Anugerah Media PERKESO iLINDUNGu 2026, anjuran bersama PERKESO dan Malaysian Press Institute (MPI) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sesi berkenaan disampaikan oleh Dato’ Tengku Khalidah Tengku Bidin, Ketua Cawangan Komunikasi Strategik dan Penjenamaan Jenama & Editorial/Ketua Komunikasi Korporat PERKESO, serta Edmund Cheong Peck Huang, Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO.

Melalui konsep iLINDUNGu 24 Jam, PERKESO memberi penekanan terhadap perlindungan sosial yang lebih menyeluruh, selaras dengan keperluan golongan pekerja yang terdedah kepada risiko bukan sahaja semasa menjalankan tugas, tetapi juga dalam kehidupan seharian.

Pendekatan tersebut turut mencerminkan usaha PERKESO memperluas kefahaman masyarakat bahawa perlindungan sosial merupakan satu bentuk jaringan keselamatan yang penting dalam menghadapi risiko seperti kemalangan, kecederaan atau situasi lain yang boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk bekerja dan menjana pendapatan.

Sesi literasi media itu turut memberi peluang kepada pengarang dan wartawan mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai inisiatif serta peranan PERKESO dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial negara.

Pada majlis sama, Anugerah Media PERKESO iLINDUNGu 2026 turut diumumkan sebagai penghargaan kepada pengamal media yang menghasilkan karya berkualiti dalam mengetengahkan isu perlindungan sosial serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan perlindungan.

Kerjasama antara PERKESO dan MPI menerusi program ini diharap dapat memperkukuh kefahaman pengamal media, sekali gus mendorong penghasilan laporan dan kandungan yang lebih tepat, berinformasi serta mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest