KUALA LUMPUR: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) menganjurkan Media Forum MyIPO bertemakan “AI, Media dan Harta Intelek: Siapa Pemilik, Siapa Bertanggungjawab?” yang menghimpunkan editor agensi media, wartawan dan wakil organisasi media bagi membincangkan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta kesannya terhadap industri media. Forum itu memberi tumpuan kepada isu penggunaan AI dalam penghasilan kandungan, termasuk aspek pemilikan karya, hak cipta dan tanggungjawab terhadap kandungan yang dihasilkan serta diterbitkan.
Forum menampilkan YBrs. Puan Yusnieza Syarmila Yusoff, Ketua Pengarah MyIPO; Robin Stanley Augustin, Pengarang Kanan Berita, New Straits Times; dan Shamsul Nizam Khalil, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar sebagai moderator.
Perkembangan AI yang semakin pesat telah mengubah cara pengamal media menjalankan tugasan, termasuk dalam penyelidikan, penulisan, penyuntingan serta penghasilan kandungan visual. Seiring perkembangan itu, timbul persoalan mengenai siapa yang memiliki kandungan yang dihasilkan dengan bantuan AI dan pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku pertikaian atau pelanggaran hak. Perbincangan turut menyentuh kepentingan etika, ketepatan maklumat dan akauntabiliti editorial supaya penggunaan AI dalam industri media dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa mengabaikan hak pencipta dan pemilik karya.
Forum berkenaan turut menjadi platform perkongsian antara MyIPO dan pengamal media dalam memahami cabaran berkaitan harta intelek dalam era digital. Penglibatan editor dan wartawan dilihat penting bagi memastikan industri media sentiasa mengikuti perkembangan teknologi serta memahami aspek perundangan dan hak cipta yang berkaitan dengan penggunaan AI.
Dalam landskap media yang semakin dipengaruhi teknologi, persoalan “Siapa Pemilik, Siapa Bertanggungjawab?” menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengamal media bagi memastikan kemajuan teknologi AI bergerak seiring dengan prinsip etika, profesionalisme dan perlindungan harta intelek.
#mpicommit









