KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2026 – Anugerah Kecemerlangan Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (AKeMedia) 2026 terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila menerima sebanyak 283 penyertaan daripada pelbagai agensi media, portal berita digital, media kerajaan serta penggiat kandungan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, ketika menyampaikan anugerah berkenaan berkata peningkatan penyertaan membuktikan sokongan berterusan pengamal media terhadap usaha Kementerian dalam mengiktiraf karya kewartawanan yang berkualiti dan memberi impak kepada masyarakat.
Menurut beliau, AKeMedia memainkan peranan penting dalam menghargai sumbangan pengamal media, khususnya dalam mengetengahkan isu berkaitan perumahan, kerajaan tempatan, kebombaan, pembangunan komuniti serta kesejahteraan rakyat.
Beliau turut mengingatkan pengamal media supaya terus mempertahankan integriti dan etika kewartawanan, terutama dalam berdepan perkembangan media sosial serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas.
Dalam mengejar kepantasan penyampaian berita, jumlah pembaca mahupun tontonan yang tinggi, beliau menegaskan aspek ketepatan fakta dan tanggungjawab kewartawanan tidak seharusnya dikompromi.
Sejak diperkenalkan pada 2023, AKeMedia telah menerima sebanyak 1,129 penyertaan dan mengiktiraf 130 pemenang sepanjang empat edisi penganjurannya.
Bagi edisi 2026, sebanyak lapan kategori dipertandingkan, iaitu Anugerah Khas Menteri, Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik, Anugerah Video Portal/Dalam Talian Terbaik, Anugerah Penyiaran Radio Terbaik, Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik, Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik, Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik dan Anugerah Influencer Terbaik.
Pemenang tempat pertama bagi tujuh kategori utama ialah:
- Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik
Mohd Faizal Nazreen Bin Abdullah – RTM - Anugerah Video Portal/Dalam Talian Terbaik
Muhammad Fauzi Bin Khairol Anuar & Rosnani Binti Nasir – Malaysia Gazette - Anugerah Penyiaran Radio Terbaik
Nicholas Darren John – Astro Audio News - Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik
Mohd Zulfadhli Bin Zulkarnain – BERNAMA - Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik
Gerard Finian Gimino – The Star - Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik
Chong Ie Gin, Limon Kazi & Wong Kai Chong – STAYWOKEPROPERTY - Anugerah Influencer Terbaik
Sugentiran A/L Mane – SugentiranMane
Penghakiman AKeMedia 2026 dikendalikan oleh panel profesional dengan penilaian meliputi aspek kualiti karya, ketepatan fakta dan penyampaian. Malaysian Press Institute (MPI) pula bertindak sebagai Sekretariat Pertandingan dan Penghakiman bagi anugerah berkenaan.
Majlis penyampaian AKeMedia 2026 turut dihadiri lebih 300 pengamal media, pengurusan tertinggi KPKT, barisan panel hakim serta rakan strategik.
Penganjuran AKeMedia terus menjadi platform penting dalam menghargai sumbangan pengamal media serta menggalakkan penghasilan karya kewartawanan yang berkualiti, berfakta dan berintegriti demi kepentingan masyarakat.
#mpicommit


















