KUALA LUMPUR, 17 Julai 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) melakar satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh pembangunan ilmu kewartawanan negara apabila e-Jurnal Kewartawanan Malaysian Press Institute (MPI) kini secara rasmi diindekskan dalam portal MyCite, sekali gus mengiktiraf jurnal berkenaan sebagai penerbitan ilmiah tempatan yang memenuhi standard kualiti akademik dan penerbitan penyelidikan di Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail, berkata pengiktirafan itu merupakan satu pencapaian signifikan dalam usaha memperkukuh kewartawanan berasaskan ilmu, penyelidikan dan inovasi.
Menurut beliau, pengindeksan di MyCite bukan sahaja meningkatkan kredibiliti dan keterlihatan e-Jurnal Kewartawanan MPI dalam kalangan komuniti akademik, malah memudahkan artikel diterbitkan untuk dirujuk, disitasi dan dimanfaatkan oleh penyelidik, institusi pengajian tinggi serta industri media di peringkat nasional.
Beliau berkata e-Jurnal Kewartawanan MPI diwujudkan sebagai platform ilmiah bagi menghimpunkan hasil penyelidikan, artikel akademik, kajian kes, ulasan kritis, analisis media, komunikasi strategik, kewartawanan digital, kecerdasan buatan (AI), etika media, dasar komunikasi serta pelbagai isu berkaitan perkembangan industri media dan kewartawanan.
Katanya, jurnal itu berperanan merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman profesional serta dapatan penyelidikan yang mampu menyumbang kepada pembangunan dasar dan amalan kewartawanan negara.
“Pengiktirafan MyCite ini menjadi pemangkin kepada usaha membudayakan penyelidikan dalam bidang kewartawanan. Industri media memerlukan lebih banyak penulisan ilmiah yang bukan sahaja mendokumentasikan perkembangan industri, malah menawarkan penyelesaian, idea baharu dan amalan terbaik bagi menghadapi cabaran transformasi digital serta penggunaan teknologi AI.
Kewartawanan perlu terus berkembang berasaskan fakta, penyelidikan dan pemikiran kritis,” katanya. Dr Ainol berkata MPI mengalu-alukan penyertaan daripada wartawan, editor, pengamal media, pensyarah, penyelidik, pelajar pascasiswazah dan mahasiswa untuk menyumbang artikel kepada e-Jurnal Kewartawanan MPI.
Menurut beliau, pengalaman wartawan di lapangan dan penyelidikan akademik merupakan dua kekuatan yang saling melengkapi dalam menghasilkan ilmu baharu, memperkukuh profesionalisme serta meningkatkan standard kewartawanan negara. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi atas sokongan, bimbingan dan komitmen sepanjang proses penilaian sehingga e-Jurnal Kewartawanan MPI berjaya diindekskan.
MyCite merupakan pangkalan data sitasi kebangsaan yang dibangunkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mengindeks, menilai dan meningkatkan keterlihatan jurnal ilmiah Malaysia, sekali gus memperkukuh kualiti penyelidikan serta impak penerbitan akademik negara.
Kata Dr. Ainol, kejayaan itu bukan sekadar satu pengiktirafan kepada MPI, malah usaha bersama untuk memperkukuh budaya penyelidikan, penerbitan ilmiah dan pembangunan ilmu dalam bidang kewartawanan serta komunikasi. Beliau berharap lebih ramai wartawan, pensyarah, penyelidik dan pelajar mengambil peluang menerbitkan penulisan berkualiti dalam e-Jurnal Kewartawanan MPI agar ia terus berkembang sebagai pusat rujukan ilmiah yang menyumbang kepada kemajuan industri media dan pembangunan negara.
#MPICommit



