Georgetown, 11 Jun 2025 – Forum Mini 5 MPI telah dilangsungkan dengan kerjasama Han Chiang University of College Communication dengan bertemakan “Journalists of the Future: Building a Career in the New Media World” yang menghimpunkan barisan panelis profesional dan berpengalaman daripada pelbagai latar belakang dalam bidang media serta kewartawanan.
Forum ini memberi tumpuan kepada cabaran dan peluang yang wujud dalam era media baharu, khususnya kepada generasi wartawan masa hadapan. Para panelis telah berkongsi pandangan serta pengalaman mereka berkaitan perubahan landskap media, keperluan kemahiran digital, serta peranan media dalam membentuk masyarakat bermaklumat.
Antara barisan panelis yang menjayakan forum ini adalah Encik Selwam Arjunan, wakil Kelab Media Mutiara merangkap Wartawan Wilayah Utara TV3 dan Wartawan Penyiaran; Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong, serta Jurulatih Profesional MPI dan Penganalisis Media, Encik Munir Anaam Zujadan.
Forum ini juga telah dikendalikan oleh Moderator selaku Pengurus Program Ijazah Sarjana Muda (Media Baharu) dengan Kepujian, School of Communication (SOCOM), Han Chiang University College of Communication, Cik Lam Yat Kuan.
Sepanjang sesi forum, pelbagai isu telah dibincangkan seperti keupayaan wartawan menyesuaikan diri dengan teknologi digital yang pesat berkembang, kepentingan etika kewartawanan dalam era maklumat tanpa sempadan serta peranan kecerdasan buatan (AI) dalam industri berita. Selain itu, para panelis turut berkongsi strategi dan panduan berguna dalam membina kerjaya dalam ekosistem media digital yang semakin kompetitif dan mencabar.
Forum ini bukan sahaja membuka ruang perbincangan yang bermakna dengan para pelajar, malah turut menjadi platform interaktif untuk memahami dengan lebih jelas hala tuju kewartawanan masa kini dan masa hadapan di Malaysia.



