Kepercayaan Tentukan Masa Depan Media – Teo

PUTRAJAYA, 15 Jun – Masa depan kewartawanan tidak harus ditentukan oleh siapa yang paling pantas atau paling tular, sebaliknya oleh organisasi media yang paling dipercayai masyarakat, kata Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, industri media kini berdepan cabaran besar susulan perkembangan pesat teknologi digital, media sosial dan kecerdasan buatan (AI) yang mengubah cara maklumat dihasilkan, disebarkan dan digunakan oleh masyarakat.

“Perhatian boleh diperoleh dalam beberapa saat, tetapi kepercayaan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina. Dalam dunia yang bergerak semakin pantas, wartawan mesti terus mempertahankan ketepatan, integriti dan fakta,” katanya ketika merasmikan Dialog Industri Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact di sini hari ini.

Menurut beliau, media perlu memahami bagaimana algoritma platform digital berfungsi tanpa membenarkan algoritma menentukan nilai dan hala tuju kewartawanan. Katanya, kandungan yang mencetuskan emosi sering mendapat perhatian lebih pantas berbanding maklumat yang tepat dan telah disahkan.

Beliau berkata, situasi itu mewujudkan dilema baharu kepada organisasi media yang perlu mengimbangi tuntutan kepantasan dengan tanggungjawab untuk memastikan setiap laporan yang diterbitkan adalah tepat dan sahih.

Dalam pada itu, Teo berkata, wartawan kini memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar melaporkan berita kerana mereka menjadi benteng integriti maklumat dalam membantu masyarakat membezakan antara fakta, manipulasi dan maklumat mengelirukan.

Menyentuh perkembangan industri media negara, beliau berkata, penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) pada 2025 merupakan langkah penting dalam memperkukuh amalan kawal selia kendiri industri. Menurutnya, fasa kedua Mekanisme Aduan MMM yang dilaksanakan pada 8 April lalu telah menerima 14 aduan berkaitan ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran dan isu keharmonian masyarakat, dengan 12 daripadanya berjaya diselesaikan.

Beliau turut menegaskan bahawa AI bukan ancaman kepada kewartawanan, sebaliknya teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kecekapan bilik berita. Namun, katanya, AI tidak mampu menggantikan pertimbangan etika, pengalaman, tanggungjawab dan kebijaksanaan manusia yang menjadi asas profesion kewartawanan.

Teo turut menggariskan empat keutamaan menjelang 2030 iaitu memperkukuh literasi media masyarakat, memperluas latihan berkaitan AI dan pengesahan digital, mempererat kerjasama antara industri media, universiti dan kerajaan serta terus mempertahankan standard etika dan profesionalisme yang tinggi.

Dialog dua hari anjuran Malaysian Press Institute (MPI) dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Penerangan Malaysia itu menghimpunkan ketua-ketua pengarang, wartawan, ahli akademik, pelajar kewartawanan dan pengamal komunikasi bagi membincangkan masa depan media dalam era digital.

#mpicommit

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter