
KEWARTAWANAN DIGITAL RELEVAN MENDEPANI REVOLUSI INDUSTRI 4.0
Forum Media Kebangsaan dianjurkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Taylor’s University yang berlangsung pada 25 September 2019 di Taylor’s University, Subang Jaya baru-baru ini merumuskan industri kewartawanan perlu menerima dan bersedia untuk berubah sesuai dengan perkembangan teknologi digital yang kini menuju era Revolusi Industri 4.0.
Forum acara tahunan MPI kali ini bertemakan ‘Industri 4.0 – Kewartawanan Merentasi Pelbagai Platform’, dengan objektif membincangkan isu-isu perkembangan teknologi seperti kecerdasan bikinan atau ‘artificial intelligence’ (AI) serta kesan media digital kepada industri secara keseluruhannya.
Ia dimulakan dengan Ucapan Aluan daripada Dr. Latiffah Pawanteh, Ketua Pengajian Media & Komunikasi, Taylor’s University dan diikuti Datuk Dr. Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif MPI.
Ucap Utama bertajuk “Rebooting the Media Industry – Present & Future Challenges” kemudiannya disampaikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar, antara lain menegaskan peri pentingnya penggiat media lebih terbuka, kreatif dan dinamik dalam menangani cabaran persaingan bukan sahaja sesama agensi media, tetapi juga untuk mendepani dominasi media sosial dalam era revolusi ini. “Syarikat media perlu menilai dan menyusun semula strategi untuk masa depan kerana model perniagaan yang ada tidak boleh digunapakai lagi sebab tidak praktikal,” tambah beliau.
Tajuk pertama “Cabaran kecerdasan bikinan dan kewartawanan dalam Era Digital” dipengerusikan oleh Prof. Emeritus Dr. Samsudin A. Rahim dari Pengajian Media & Komunikasi, Taylor’s University. Antara ahli-ahli panel yang terlibat adalah Datuk Wong Sai Wan, Ketua Pengarang Kumpulan, Malay Mail; En. Kamarul Bahrin Haron, Timbalan Ketua Pengarang, Astro AWANI; dan En. G. Perumal, Penolong Penyunting, Malaysia Nanban.
Tajuk kedua “Citizen Journalism : Giving Voices to the Rakyat” turut menarik perhatian peserta. Ahli-ahli panelnya terdiri daripada Puan Aira Azhari, Eksekutif Kanan Unit Demokrasi & Tadbir Urus di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS); Prof. Zaharom Nain, Pengarah Pusat Pengajian Komunikasi di University of Nottingham, Kampus Malaysia dan Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Manakala En. Jahabar Sadiq, Ketua Pegawai Eksekutif/Editor, The Malaysian Insight bertindak sebagai moderator.
Lebih seratus pemimpin editorial, wartawan, pengamal media, ahli akademik dan pelajar universiti telah hadir dan menyertai forum ini. Sekumpulan pensyarah/pelajar kewartawanan dari University of South Australia turut menyertainya sebagai salah satu aktiviti ‘pertukaran program’ bersama Taylor’s University.
Forum diakhiri dengan Ucapan Penutupan daripada Prof. Emeritus Dr. Samsudin A. Rahim sebelum semua ahli panel dan peserta menjamu makan tengah hari.
FOTO SEKITAR FORUM :














