7 JANUARI 2025
KUCHING, SARAWAK
Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail dan Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Binti Mohd. Sanusi di kediaman rasmi di Kesuma Resort, Kuching, Sarawak.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Yang Berhormat Datuk Abdullah Saidol.
Pertemuan selama 45 minit itu antara lain menzahirkan ucapan terima kasih MPI kepada TYT Tun di atas keprihatinan dan ambil berat perihal kewartawanan di Sarawak, dan negara khususnya dalam aspek peningkatan bakat dan profesionalism kewartawanan.
Banyak nasihat diberikan oleh TYT Tun kepada MPI dalam memperkasa dan memperhebatkan kerjaya kewartawanan di negara ini. Selain itu, TYT Tun mahu MPI terus menjadi pusat latihan kecemerlangan buat pengamal media dan memberi fokus kepada aspek penyampaian, ketepatan dan kefahaman terhadap apa yang hendak disampaikan.
Pada akhir kunjungan itu, Datuk Yong menyerahkan lakaran wajah TYT Tun kepada TYT Tun sambil disaksikan oleh Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Binti Mohd. Sanusi.
– Liputan kunjungan ini dibuat oleh Muhammad Asyraf Rosmidi.




