3 Disember 2024 – Malaysian Press Institute hari ini menerima kehadiran Pengasas dan Ketua Pengarang Suara Merdeka, Haji Borhan Abu Samah (Bob) bersama Cik Nur Atikah Shahrudin, Wartawan Suara Merdeka. Pertemuan itu disambut Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Haji Ainol Amriz Ismail serta sekretriat MPI.
Dalam diskusi itu, banyak cadangan dikemukakan untuk MPI membantu memantapkan portal media menjadi lebih versetail dan multi-tasking dalam pelaporan. Selain itu juga, MPI merancang bagi menghimpunkan para komuniti pengamal media yang terlibat dalam pengendalian portal untuk dijelaskan pelbagai program latihan yang boleh disertai mereka pada tahun 2025.
Perbincangan ini diadakan dengan tujuan untuk memperkasa profesionalisme dalam kalangan pengamal media, khususnya dalam menghasilkan laporan yang tidak hanya tepat dan beretika, tetapi juga lebih peka dan sensitif terhadap perkembangan isu-isu semasa dalam kalangan masyarakat. Dengan pendekatan ini, diharapkan semua media dapat terus memainkan peranan penting dalam memberikan maklumat yang tepat, jujur dan lebih bertanggungjawab.





