Majlis Makan Malam Media PPM Perkukuh Naratif Pembangunan Belia Negara

KUALA LUMPUR, 4 Disember 2025 – Buat julung kalinya dalam sejarah gerakan kepengakapan negara, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menganjurkan Majlis Makan Malam Media sebagai tanda penghargaan tertinggi kepada rakan-rakan media yang selama ini memainkan peranan strategik dalam menyebarkan inspirasi dan aspirasi pengakap kepada rakyat Malaysia. Majlis yang berlangsung di Ballroom, Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur itu menjadi simbol kesyukuran, penghormatan dan penegasan komitmen PPM untuk terus merapatkan hubungan dengan industri media.

Ketua Pengakap Negara, Mej Jen Datuk Prof. Dr. Mohd Zin Bidin, dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya peranan media dalam membina naratif pembangunan belia selari dengan visi negara.

“Media bukan sekadar melaporkan kegiatan pengakap, tetapi membentuk kefahaman masyarakat tentang nilai kepimpinan, disiplin dan karakter yang menjadi teras program pengakap. Liputan yang positif, tersusun dan berfakta mampu meyakinkan ibu bapa, pemimpin dan penggubal dasar bahawa pengakap ialah platform pembangunan belia yang relevan dan berpengaruh,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa PPM kini bergerak dengan tekad memperkukuh profil organisasi di peringkat nasional, seiring usia 117 tahun yang menjadikannya antara organisasi belia tertua dan paling berpengaruh di Malaysia. Setakat ini, pengakap mempunyai lebih 300,000 ahli berdaftar dan membayar yuran, manakala data Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan jumlah keseluruhan keahlian melebihi 600,000 orang, angka yang menggambarkan keyakinan masyarakat terhadap gerakan ini.

Majlis makan malam itu turut menyaksikan penyampaian penghargaan khas kepada beberapa agensi media atas pelaporan berita terbaik dan cemerlang mengenai program serta inisiatif pengakap sepanjang tahun. Wakil-wakil media turut menerima plak penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi mereka dalam membantu memperkukuh naratif pembangunan belia melalui platform pengakap.

Malaysian Press Institute (MPI) turut menerima plak penghargaan daripada PPM sebagai simbol hubungan erat antara kedua-dua organisasi dalam memperkukuh profesionalisme media dan memperluas pemahaman masyarakat terhadap peranan pengakap.

Majlis ini dihadiri oleh barisan tetamu kenamaan termasuk Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr. Ainol Amriz Ismail; Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani; Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Abdullah Taib; Datuk Seri Azman Ujang; serta kepimpinan kanan Pengakap Malaysia. Majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil-wakil agensi media arus perdana dan digital.

Penganjuran sulung Majlis Makan Malam Media ini disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh kerjasama media–pengakap, selain menjadi platform mengetengahkan mesej utama PPM mengenai pembangunan belia, kepimpinan masa depan dan tanggungjawab organisasi terhadap aspirasi negara. PPM optimis kerjasama ini akan membuka ruang naratif lebih segar dan konstruktif untuk memartabatkan pengakap di mata masyarakat serta membawa organisasi ini bergerak ke hadapan dengan lebih yakin.

Share this post :

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Create a new perspective on life

Your Ads Here (365 x 270 area)
Latest News
Categories

Subscribe our newsletter