
Malaysian Press Institute Disambut Baik Buletin Mutiara
23 Januari 2025, Georgetown – Malaysian Press Institute (MPI) tiba di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini bagi mengadakan kunjungan hormat ke Buletin Mutiara.
Delegasi MPI diketuai oleh Presiden, Datuk Yong Soo Heong disambut oleh Pengarah Komunikasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri / Setiausaha Akhbar Kepada YAB Ketua Menteri, Puan Yap Lee Ying, Editor Buletin Mutiara (Bahasa Inggeris), Encik Christopher Tan dan beberapa sekretariat Buletin Mutiara yang lain.
Dalam pertemuan tersebut, Puan Yap menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh MPI dalam penganjuran program-program kewartawanan yang dirancang diadakan di Pulau Pinang pada tahun ini.
Datuk Yong berkata usaha ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti kewartawanan, memperluas latihan untuk wartawan, serta mempererat kerjasama antara MPI dan media tempatan.
Turut sama hadir menyertai adalah Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Tuan Hj Ainol Amriz Ismail, Pengurus Besar MPI, Puan Norlida Jamain dan sekretariat MPI.
Akhbar Buletin Mutiara diterbitkan sebanyak dua kali sebulan dalam empat bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

