KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) berpeluang mengadakan pertemuan bersama barisan pegawai Bahagian Komunikasi Strategik, Bank Negara Malaysia (BNM) di Kuala Lumpur pagi ini bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang komunikasi, kewartawanan dan pembangunan profesional pengamal media.
Pertemuan tersebut diketuai oleh Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, bersama Pengurus Kanan Pengurusan Projek, Puan Norhafiza Kamaludin dan Eksekutif Kandungan Kreatif, Cik Nurul Ifatul Aisyah. Delegasi BNM pula diketuai oleh Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Encik Roy Lim Way Zhi, bersama Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Puan Jasmina Mohd Mokhtar serta Pengurus Bahagian Komunikasi Strategik, Encik Eugene Siew.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk pelaksanaan program literasi media dan komunikasi, peluang penglibatan dalam penganjuran anugerah berkaitan industri media serta penganjuran sesi perkongsian bersama barisan editor. Perbincangan turut merangkumi potensi pelaksanaan program pembangunan kapasiti, perkongsian pengetahuan dan sesi dialog bagi memperkukuh hubungan antara institusi kewangan dengan pengamal media.
Pertemuan ini menjadi platform untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan serta meneroka pendekatan yang bersesuaian dalam memperkasa penyampaian maklumat, meningkatkan pemahaman terhadap isu-isu berkaitan kewangan dan ekonomi serta mengukuhkan hubungan strategik antara MPI dengan BNM. Usaha ini diharap dapat membuka ruang kepada kerjasama berterusan yang memberi manfaat kepada industri media dan masyarakat.








