KUALA LUMPUR, 30 Jun 2026 – Literasi media sebagai agenda nasional, perlindungan hak intelek kandungan kewartawanan, pendidikan media seawal peringkat sekolah serta pendekatan lebih seimbang terhadap kebebasan media antara cadangan utama yang diperhalusi oleh 25 ketua pengarang dan pengarang kanan untuk dimasukkan ke dalam Dokumen Cadangan Industri Media Malaysia 2026.
Cadangan tersebut dibincangkan dalam Council MPI: Industry Roundtable 2026 anjuran Malaysian Press Institute (MPI), sebagai susulan kepada forum “Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact – An Industry Dialogue” yang berlangsung pada 15 dan 16 Jun lalu. Dokumen itu akan dimuktamadkan sebelum dikemukakan kepada kerajaan sebagai syor industri bagi memperkukuh ekosistem media negara.
Sesi meja bulat yang dipengerusikan Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong, menghimpunkan 25 ketua pengarang dan pengarang kanan daripada pelbagai organisasi media untuk meneliti semula setiap dapatan forum, memperhalusi cadangan yang dikemukakan serta mengenal pasti keutamaan yang wajar diberikan perhatian dalam pembangunan industri media negara. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Ainol Amriz Ismail.
Dr Ainol berkata, antara cadangan yang menerima perhatian ialah usaha menjadikan literasi media sebagai agenda nasional dengan penglibatan lebih menyeluruh kerajaan, organisasi media, institusi pendidikan dan masyarakat. Menurut beliau, dalam landskap digital yang dipacu kecerdasan buatan (AI), media bukan lagi sekadar menyampaikan berita, malah perlu memainkan peranan sebagai pendidik awam dalam meningkatkan keupayaan masyarakat menilai kesahihan maklumat, memahami proses kewartawanan serta mengenal pasti kandungan yang dimanipulasi.
Beliau berkata, peserta turut mencadangkan supaya perlindungan terhadap hak intelek kandungan media diperkukuh melalui mekanisme yang lebih berkesan bagi menangani penggunaan semula, manipulasi dan eksploitasi hasil kerja kewartawanan tanpa kebenaran. Langkah itu disifatkan penting bagi melindungi nilai kandungan tempatan serta memastikan organisasi media terus mempunyai keupayaan menghasilkan kewartawanan yang berkualiti.
Satu lagi cadangan yang dibincangkan ialah memperkenalkan pendidikan kewartawanan dan literasi media seawal peringkat sekolah rendah, berbanding hanya didedahkan di institusi pengajian tinggi. Cadangan itu dilihat mampu membentuk generasi yang lebih celik media, berfikiran kritis dan bertanggungjawab dalam menghasilkan serta berkongsi maklumat. Wartawan dan organisasi media turut dicadangkan memainkan peranan lebih aktif sebagai rakan strategik dalam usaha pendidikan awam.
Perbincangan turut menyentuh isu kebebasan media, dengan peserta berpandangan bahawa kebebasan editorial perlu terus dipelihara bagi memastikan media dapat menjalankan fungsi semak dan imbang secara profesional. Dalam masa yang sama, mereka berpendapat sebarang mekanisme atau penambahbaikan perundangan hendaklah mengambil pendekatan yang seimbang agar tidak menjejaskan kredibiliti organisasi media, kebebasan profesional serta tanggungjawab kewartawanan kepada masyarakat.
Menurut Dr Ainol, semua pandangan, syor dan cadangan yang dikemukakan sepanjang sesi itu direkodkan, diteliti dan diperhalusi sebelum dimuktamadkan sebagai Dokumen Cadangan Industri Media Malaysia 2026.
“Dokumen ini akan menjadi suara kolektif industri media. Matlamatnya bukan sekadar merumuskan dapatan forum, tetapi mengemukakan cadangan yang praktikal dan boleh dipertimbangkan kerajaan bagi memperkukuh kelestarian, profesionalisme dan kredibiliti industri media negara,” katanya.
Beliau berkata, dokumen tersebut dijadual diserahkan kepada Kementerian Komunikasi selewat-lewatnya sebelum 17 Julai 2026, bersempena Malam Wartawan Malaysia 2026 dan majlis penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2025.
Menurut beliau, pendekatan yang diambil MPI melalui sesi meja bulat itu membolehkan setiap cadangan yang dikemukakan oleh pemimpin media dinilai secara menyeluruh sebelum dirumuskan sebagai syor industri kepada kerajaan, sekali gus memastikan setiap rekomendasi yang disampaikan benar-benar mencerminkan pandangan dan keperluan semasa landskap media Malaysia.
#mpicommit





