KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2026 – Malaysian Press Institute (MPI) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) meneroka kerjasama bagi memperkukuh literasi agama dalam kalangan pengamal media supaya isu berkaitan agama dapat dilaporkan dengan lebih tepat, jelas dan mudah difahami masyarakat.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Haji Ainol Amriz Ismail dan Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil di IKIM, hari ini.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mencari titik kerjasama dalam membina kefahaman yang lebih baik dalam kalangan wartawan dan petugas media ketika berhadapan dengan isu agama yang sering memerlukan konteks, ketepatan istilah serta penjelasan daripada sumber yang berautoriti.
Keperluan itu dilihat semakin penting dalam landskap media digital apabila sesuatu isu boleh tersebar dengan pantas, sedangkan kekurangan konteks atau kefahaman terhadap perkara berkaitan agama boleh menimbulkan salah tafsir dalam kalangan khalayak.
Melalui kerjasama yang dirancang, IKIM boleh memainkan peranan dari sudut kepakaran dan kefahaman agama, manakala MPI bersedia bertindak sebagai penyelaras bagi menghimpunkan pengamal media daripada organisasi arus perdana serta portal berita untuk mengikuti program literasi, latihan atau sesi perkongsian yang bakal dibangunkan bersama.
Pendekatan itu bukan bertujuan menentukan bagaimana media harus melaporkan sesuatu isu, sebaliknya membantu petugas media mempunyai asas pengetahuan yang lebih kukuh supaya pelaporan dapat dibuat secara bertanggungjawab, berfakta dan mudah difahami masyarakat.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Pengarah Pusat Media IKIM, Tuan Haji Ahmad Fuad Mat Ali bersama pegawai-pegawai IKIM, manakala MPI turut diwakili Ketua Unit Media Sosialnya, Ibrahim Darman.
Pertemuan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat IKIM itu diharap menjadi langkah awal kepada kolaborasi lebih tersusun antara kedua-dua institusi dalam memperkukuh profesionalisme media, khususnya dalam pelaporan isu agama kepada masyarakat.








